Tuesday, 5 March 2019

Masalah Muara Cetek Di Pantai Tok Jembal Akan Diatasi

SHARE

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 5 Mac – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berjanji akan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah muara  Pantai Tok Jembal yang semakin cetek sehingga menyukarkan nelayan keluar masuk menangkap ikan.

Katanya, bagi tujuan keluar masuk bot, kedalaman minimum yang diperlukan adalah 3.5 meter dan jika kurang daripada itu, ia akan menyebabkan kipas bot tersangkut dan memberi masalah kepada nelayan.

“Ini menyukarkan nelayan-nelayan ini untuk turun kelaut untuk menangkap ikan terutama bila waktu air surut.

"Saya telah menghubungi Pengarah Tanah dan Galian Negeri serta pegawai-pegawai Pejabat Daerah Kuala Nerus untuk mendapatkan maklum balas pihak berkenaan tentang perkara ini. Insyallah satu pertemuan akan diadakan melibatkan beberapa agensi kerajaan dengan nelayan bagi menyelesaikannya", ujar beliau lagi ketika dihubungi media Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), semalam.


Terdahulu, Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) yang diwakili oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Yusrizal Wan Shafi’I, melawat perkampungan nelayan di Pantai Tok Jembal.

Tambahnya, dalam pertemuan itu, nelayan-nelayan memaklumkan tentang kawasan meletakkan bot dan sampan komuniti nelayan semakin cetek  di samping memohon pihak berkaitan dapat meneliti masalah berkenaan dan mengambil langkah susulan seperti mendalam muara dengan demi kepentingan nelayan.

“Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan mengambil langkah segera bagi menangani masalah ini”, ujar beliau.

Menurut Ustaz Yusrizal, pihak-pihak yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah Dan Galian Daerah Kuala Nerus akan bersama-sama dengan Sekretariat PKAPKN akan berbincang dengan komuniti nelayan di Pantai Tok Jembal bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: