Monday, 25 March 2019

Mangsa Kebakaran Kampung Duyung Dapat Perhatian PKAPKN

SHARE

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 25 Mac- Keperitan mangsa kebakaran di Kampung Duyung, Seberang Takir yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi semalam mendapat simpati dan perhatian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) yang segera tampil menyerahkan bantuan.

Pengawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i telah mewakili Ahli Parlimennya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyerahkan bantuan berupa wang tunai kepada mangsa agar dapat meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga.

Anuar Affadi Norwawi, 36, dan isterinya, Zuliati Mohamad, 41, diuji apabila rumah yang disewanya hangus dijilat api dan menyebabkan mereka tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggan.

Menurut Anuar Affadi, dia menyedari kebakaran yang berlaku itu seawal jam 4.14 pagi dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan air paip berdekatan tapi tidak berhasil.

“Api menjadi bertambah marak dan saya berjaya membawa isteri dan anak bongsu saya untuk keluar daripada rumah sewa saya itu," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan wakil PKAPKN semalam.

Katanya, dia bernasib baik kerana empat orang anaknya berada bersama keluarga di Flat Sri Kolam pada waktu kejadian, tetapi semua barangan milik mereka musnah dan hangus dijilat api.


Sementara itu, menurut Pegawai Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 1, Kuala Terengganu, Muhammad Syahir Ab Rahim berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu.

Katanya, kebiasaannya kes-kes kebakaran yang melibatkan rumah-rumah lama antara puncanya disebabkan oleh masalah litar pintas.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya sesebuah rumah mengalami “black out” yang kerap kerana ia memudahkan terjadinya litar pintas dan mengakibatkan kebakaran,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: