Monday, 11 March 2019

Malaysia Perlu Batalkan Penyertaan Dalam Statut Rome ICC

SHARE


Haji Ahmad Amzad (dua dari kanan) ketika berada di Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR, 11 Mac - Kerajaan Persekutuan perlu lebih berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat terma-terma yang tidak selari di antara Statut  Mahkamah Jenayah Antarbangsa Rom (Statut Rome ICC) dengan Perlembagaan Negara dan Undang-Undang yang sedia ada.  

Apatah lagi ia bercanggah dengan Hak Asasi Melayu dan Bumiputera, Hak Raja-Raja Melayu, bidang kuasa Mahkamah Syariah serta Kedaulatan Negara.  

Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Haji Ahmad Amzad Hashim mencadangkan agar Malaysia menarik balik penyertaan dalam statut itu kerana terdapat beberapa negara sudah berbuat demikian.  

Ini termasuk Burundi dan Filipina selepas  menyertainya 10 tahun yang lalu.  

Beliau meneliti perkara tersebut termasuk  kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)  dan Wisma Putra.  

"Saya telah meneliti beberapa laporan media berkenaan perkar itu termasuk kenyataan rasmi dari SUHAKAM. Yang terbaru adalah kenyataan rasmi dari Wisma Putra berkenaan isu yang sama. 

"Jika diamati objektif kerajaan secara langsung untuk menyertai Statut Rome ICC iaitu untuk membanteras jenayah antarabangsa yang sangat serius termasuk genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, objektif-objektif berkenaan adalah selari dengan prinsip-prinsip keadilan Islam yang PAS dokongi dan pertahankan, " katanya dalam satu kenyataan media hari ini.  

Menurut Amzad, jika diamati dengan lebih terperinci dalam beberapa objektif yang digariskan Wisma Putra terutama berkenaan jenayah terhadap kemanusiaan, beliau berpandangan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu lebih berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat terma-terma yang tidak selari di antara Statut Rome ICC dengan Perlembagaan Negara dan Undang-Undang yang sedia ada.  

"Lebih-lebih lagi jika ia bercanggah dengan Hak Asasi Melayu dan Bumiputera, Hak Raja-Raja Melayu, bidang kuasa Mahkamah Syariah serta Kedaulatan Negara," jelasnya.  

Katanya, antara beberapa perkara yang ingin dibangkitkan termasuk Kedudukan Artikel 7 di dalam Statut Rome ICC yang berkait rapat dengan 'Torture' di mana Sebatan Syariah cuba diklasifikasikan pihak tertentu sebagai 'Torture' di dalam Konvensyen CAT (Convention Against Torture atau Konvensyen Terhadap Penyeksaan).  

"Adakah dengan keputusan Kerajaan Pusat berupaya memastikan tidak berlaku campur tangan pihak luar terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah khususnya terhadap hukuman sebatan, " soalnya.   

Beliau percaya keputusan kerajaan yang tidak mahu sertai Statut Rome ICC sebelum ini atas sebab-sebab tertentu, berkait rapat dengan cabaran untuk meminda perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada malah wujudnya undang-undang yang sedia ada sudah memadai untuk memenuhi objektif Statut Rome ICC.  

"Kenapa tiba-tiba pada 4 Mac baru-baru ini, pihak Kerajaan mahu pula sertai Statut Rome ICC ini.   

"Sila Rujuk Laporan Kebangsaan yang dihantar wakil Kerajaan (Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negeri) untuk tempoh Mac 2013 sehingga Mac 2018 kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Persidangan Universal Periodic Review (UPR) atau Kajian Berkala Universal yang dianjurkanpada 8 Novemer tahun lepas," jelasnya.  

Kata beliau, beberapa negara Islam yang tidak menyertai statut itu termasuk Brunei, Republik Indonesia, Turki, Sudan Selatan, Kazakhstan, Pakistan, Arab Saudi, Iraq, Libya, Qatar dan lain-lain. 

Amzad menjelaskan, jiran kepada Malaysia iaitu Thailand dan Singapura juga tidak sertai Statut Rome ICC. Kenapa tiba-tiba Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan mahu sertai Statut Rome ICC ini, " soalnya.   

Menurut beliau, ia dipercayai memberi kesan pada kuasa Raja-Raja Melayu khususnya terhadap Mahkamah Khas, kedudukan Ketua Negara, imuniti dan kekebalan.  Ia turut dipercayai memberi kesan kepada Umat Islam secara keseluruhannya kerana Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam. 

Tambah beliau lagi, statut itu juga dipercayai memberi kesan kepada campur tangan negara atau pihak asing terhadap kes-kes 'jenayah kemanusiaan' dalam negara yang mungkin bukan ‘jenayah kemanusiaan’ mengikut tafsiran sebatan syariah yang dianggap sesetengah pihak sebagai jenayah tersebut.   

Katanya, masalah tiada reservasi untuk Statut Rome ICC seperti Konvensyen atau Triti Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang lain.  

Menurut Amzad lagi, ia juga memberi kesan pada undang-undang tempatan yang sedia ada jika berlaku percanggahan atau tidak selari dengan Statut Rome ICC.  

"Jika objektif Statut Rome ICC ini penting untuk membanteras jenayah antarabangsa yang sangat serius iaitu genosid, kenapa Israel, Amerika Syarikat, Myanmar serta Syria tidak menyertai statut tersebut." ujarnya.   

"Saya juga ingin mencadangkan agar keputusan kerajaan pusat untuk menyertai Statut Rome ditarik balik berdasarkan Artikel 127 Statut Rome sendiri yang membenarkan mana-mana Negara untuk menarik balik penyertaan terhadap ICC sehingga Konsultansi Awam dengan semua pihak yang berkepentingan dapat dilaksanakan terlebih dahulu khususnya dengan Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Negeri-Negeri dan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  

"Malah Burundi, dan Filipina yang pernah menyertai Statut Rome ICC lebih 10 tahun yang lalu akhirnya telah menarik balik penyertaan mereka pada tahun 2017 dan 2019," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: