Saturday, 2 March 2019

Lepas Air Kenyir Atasi Air Payau

SHARE
Dr Mamad Puteh.
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sentiasa bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kenyir bagi membantu melepaskan air Empangan Kenyir lebih daripada biasa bagi mengurangkan kepekatan air masin daripada laut bagi menyelesaikan masalah air payau.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SATU, Ir Atemin Sulong berkata, SATU bersama-sama Pejabat Kesihatan sentiasa memantau mutu air yang dibekalkan kepada pengguna supaya selamat diguna.

"Mutu air yang dibekalkan adalah berdasarkan piawai Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Di samping itu, Suruhanjaya Perkhimatan Air Malaysia juga sentiasa membuat audit terhadap mutu air yang SATU bekalkan kepada pengguna," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang isu air payau akibat cuaca panas yang berterusan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, musim kemarau yang melanda mengakibatkan air sungai cetek dan air dari hulu sungai boleh dikatakan sedikit sahaja.

"Kawasan terjejas kesan masalah ini termasuk dari muka sauk Pulau Musang iaitu ketika mana air laut pasang besar.

"Kebiasaannya mereka dibantu oleh air Kenyir yang dilepaskan oleh pihak TNB. Adapun sekarang, TNB tidak mempunyai simpanan air yang banyak berikutan kurangnya hasil takungan hujan pada bulan November dan Disember.

"Hal ini menyebabkan proses pelepasan air juga perlu dibuat secara berhemah. Air masin yang masuk sampai ke muka sauk Pulau Musang bukanlah perkara baharu.

"Selain itu, air payau tersebut masih boleh digunakan dan selamat untuk diminum," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: