Saturday, 16 March 2019

171 Rakyat Besut Terengganu Terima Tanah - MB

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan jadual 5A kepada pemohon yang berjaya.
BESUT, 16 Mac - Seramai 171 penduduk di Mukim Keluang dan kawasan Durian Ubi menerima tanah sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanah lot yang diberikan adalah kepada mereka-mereka yang telah dinafikan hak oleh kepimpinan kerajaan terdahulu.

Ujarnya, berdasarkan pertimbangan itu, kerajaan merasa bertanggungjawab untuk memulangkan kembali tanah yang menjadi kerunsingan mereka bagi membina tempat berteduh.

“Keperluan rakyat yang merangkumi perkara-perkara asas ada pelbagai, di antara perkara yang penting kepada kita adalah mempunyai tempat berteduh.

“Atas hakikat inilah kerajaan dalam proses untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan, setiap rakyat negeri terengganu berhak untuk memiliki tanah mengikut syarat-syarat yang kita tetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Jadual 5A Kepada 171 Peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok Mukim Kluang dan kawasan Durian Ubi di Taman Awam Pantai Air Tawar, di sini semalam.
 
Penerima-penerima lot tanah pertanian.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Ahmad Rizal Mamat.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad, Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor serta Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh.

Ahmad Samsuri turut mengingatkan penerima-penerima agar memanfaatkan sebaik mungkin tanah yang telah diterima.

“Mana-mana yang dapat tanah untuk pertanian ini, gunakanlah sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu lot-lot yang diberikan ini bertukar tangan kerana sebab-sebab tertentu, buatlah apa jua dengan tanah-tanah yang diberikan dengan kita berbakti pada tanah,” tambah beliau.

Beramah mesra dengan penduduk Besut.
Pemberian balik lot tanah itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu untuk pertanian dan pembinaan rumah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: