Sunday, 17 March 2019

KPKT Lulus RM2 Juta Bagi Tiga Projek Di Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan tiga projek utama di Terengganu dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada peruntukan itu, sebanyak RM500,000 perbelanjaan tambahan lot di Pasar Payang, manakala pembinaan pagar di Taman Warisan, Kuala Terengganu melibatkan kos RM500,000 dan kelulusan RM1 juta untuk membina Terminal Bas di Bandar Jertih, Besut.

Katanya, tiga perkara (projek) itu termasuk tambahan 212 lot di Pasar Payang 2 yang akan disiapkan segera supaya boleh beroperasi menjelang Ramadan nanti.

“Bagi mengatasi kejadian kes lemas seperti di Taman Warisan berlaku lagi..kerana saya difahamkan tiada pagar untuk keselamatan, jadi kelulusan segera RM500,000 untuk membina pagar atau tembok, (selain) membina kemudahan tandas dan surau.

“Sebanyak RM1 juta juga  diluluskan untuk keperluan Bandar Jertih  sebagai pintu masuk ke Terengganu yang memerlukan  satu terminal bas yang lebih selesa dan menarik  kerana saya di fahamkan pasar yang ada sudah cantik  jadi harus dihubungkan dengan terminal bas yang cantik juga… walaupun dikatakan bajet dipohon (kerajaan negeri) sebelum ini  RM13 juta  tetapi saya meluluskan RM1 juta untuk kerja awal,” katanya kepada media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).


Beliau berkata demikian selepas majlis Perjumpaannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak .

Zuraida berkata, sebanyak RM9 juta telahpun diluluskan kepada semua PBT melalui kerajaan negeri untuk keperluan mereka melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Mengulas mengenai kawasan perumahan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, beliau menjelaskan, pihaknya kini sedang menyemak status empat tanah yang diswastakan kepada Kerajaan Pusat untuk membina Rumah Harapan dan akan memberi keutamaan kepada projek berkenaan.

Sementara itu, Dr. Alias Razak berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada KPKT telah meluluskan peruntukan bagi tiga projek yang dikira penting bagi kerajaan negeri.

“Projek ini ada yang tengah kritikal dan berkait dengan keselamatan serta tempat rakyat negeri ini mencari rezeki.

“Saya juga berharap permohonan Rumah Harapan juga akan dipertimbangkan untuk kelulusan segera bagi kemudahan dan kebajikan rakyat Terengganu,”ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: