Friday, 8 March 2019

Kesatuan Islam Senjata Paling Ampuh

SHARE
Foto - Solahuddin Al-Idrus
MARANG, 8 Mac - Kesatuan umat Islam adalah senjata paling ampuh bagi menggagalkan segala usaha untuk menundukkan orang Islam.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha penyatuan ummah itu sangat ditakuti oleh kerana segala perancangan sulit mereka untuk menguasai orang Islam akan musnah.

Jelasnya, perbezaan fahaman politik dan sosial tidak seharusnya menjadi penghalang buat seluruh umat Islam di Malaysia bersatu.



"Kekuatannya terletak pada orang Islam, yang bersatu bersama  dengan (syarat) Islam.

"Menunjukkan bahawa kita di akhir zaman ini, kalau nak balik menang semula mestilah menyatukan orang-orang Islam, kita menyatukan orang-orang Islam yang bermacam-macam ini, macam-macam fahaman," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Munajat dan  Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan berikutan fitnah yang ditohmah terhadap parti itu, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Dato’ Husain Awang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat, ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, ADUN Batu Burok, Khalil Abdul Hadi, serta kepimpinan PAS peringkat DUN dan parlimen.



Tambah beliau, perpecahan  dan persengketaan yang berlaku membuka peluang kepada musuh untuk menguasai Islam.

Apabila suasana begitu wujud, maka umat Islam akan hilang kuasa dan kedudukan secara beransur-ansur.

“Pilihan raya yang lalu menyaksikan bagaimana terbentuknya satu kerajaan yang dikuasai oleh orang bukan Islam.

“Orang bukan Islam 66 kerusi, orang Islam 58 kerusi yang memerintah negara kita pada hari ini, padahal orang Islam 65 peratus, orang bukan Islam 35 peratus sahaja, tetapi mereka boleh menguasai kerajaan Islam.

“Sekarang kita sedang mengusahakan untuk menyatukan umat Islam di negara kita ini untuk membina kekuatan semula,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: