Thursday, 14 March 2019

Kerajaan Penyatuan Ummah : Belum Dimuktamad

SHARE
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.


KUALA NERUS, 13 Mac - Kerajaan Penyatuan Ummah antara dua parti terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS masih belum dimuktamadkan lagi.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasrat yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Dato' Seri Mohamad Hasan baru-baru ini belum dibincangkan lagi di peringkat kepimpinan kedua-dua parti itu.

Jelasnya, PAS juga terlebih dahulu akan mendengar cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahlinya.

“Buat masa ini tiada sebarang keputusan dan perbincangan yang mendalam lagi di peringkat kepimpinan PAS pusat.

“Kita masih menunggu sebarang maklum balas daripada pelbagai ‘stakeholders’ sama ada ahli-ahli parti dan juga kepimpinan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘MB Mari Kampung Kite’ sempena Siri Jelajah Penerangan Bajet 2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Program bual bicara 'MB Mari Kampung Kite' turut mendapat perhatian kaum ibu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Ahmad Samsuri yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat turut berkata, usaha bagi membina sebuah pentadbiran yang kukuh adalah satu cadangan yang baik.

Tambah beliau, kerajaan yang kuat akan memberikan banyak manfaat untuk dinikmati bagi seluruh rakyat.

“Kita melihat bahawa apa jua inisiatif, usaha ke arah membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan inklusif adalah satu perkara yang memberi kepentingan kepada rakyat.

“Kita masih menunggu sebarang maklumat (penuh daripada kepimpinan kedua parti) sebelum membuat sebarang keputusan ,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: