Tuesday, 5 March 2019

Kerajaan Negeri Sedia Tangguh Pemindahan Peniaga Pasar Payang

SHARE

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Kerajaan negeri hari ini mengesahkan kesediaan menangguhkan tarikh pemindahan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) ke pasar sementara iaitu Pasar Payang 2 yang pada asalnya dijadualkan April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, penangguhan itu buat ekoran rayuan para peniaga meminta pertimbangan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunda tarikh pemindahan ke Pasar payang 2 selepas Aidilfitri tahun ini.

Difahamkan, sebelum ini MBKT sudah mengeluarkan arahan supaya semua peniaga berpindah bermula 15 April ini ke Pasar Payang 2 yang dibina sebagai pasar sementara kira-kira 100 meter dari PBKP.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan kebajikan rakyat, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemindahan peniaga dari April ke Jun ini yang mana tempoh pemindahan turut memakan masa selama sebulan.

“Peniaga boleh mula berpindah dari PBKP ke Pasar Payang 2 selepas Hari Raya Aidilfitri dan dijangka tempoh itu mencukupi untuk memindahkan barang peniagaan dan sebagainya.

“Selepas semua peniaga berpindah ke pasar sementara, kerja-kerja menaik taraf PBKP akan bermula di mana pelaksanaan projek berkenaan bakal mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan menarik bagi peniaga serta pengunjung,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di pejabatnya, hari ini.

Katanya, ‘pemindahan sementara’ peniaga yang menjalankan perniagaan di 762 lot peniagaan di PBKP adalah untuk memberi laluan kepada pembangunan semula PBKP dan memberi nafas baharu kepada destinasi ikonik itu.

Dalam perkembangan sama, sebelum ini Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memberi jaminan bahawa kebajikan peniaga sedia ada di PBKP akan terjaga sebaiknya dengan kesemuanya mendapat lot perniagaan masing-masing di premis sementara, Pasar Payang 2.

“Apabila projek pembangunan semula PBKP siap, mereka inilah juga akan berpindah balik dan tidak timbul nama tiada dalam senarai dan sebagainya, hanya berpindah sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di tapak sedia ada,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: