Wednesday, 20 March 2019

Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Hasrat Rakyat - MB Terengganu

SHARE

HULU TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri sedia membuat pertimbangan tentang keperluan rakyat melalui program turun padang dalam siri 'Menteri Besar Mari Kampung Kite' yang kini sedang berjalan di seluruh daerah di Terengganu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan sebaiknya tentang hasrat rakyat yang disuarakan sepanjang perjalanan majlis itu.

"Pihak kami sedia melihat, buat pertimbangan tentang mana-mana hasrat yang disuarakan oleh rakyat, mana yang boleh diawalkan atau dilewatkan mengikut kesuaian.

"Dalam siri turun padang dan berjumpa rakyat, segala respon rakyat akan diambil catatannya dan akan dirangka perancangan untuk dilaksanakan jika munasabah dan boleh dibuat," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program MB Mari Kampung Kite di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar, Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim dan Pegawai Daerah, Johan Ibrahim.

Hadir sama, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @Mat Ali, ketua-ketua jabatan dan pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Hulu Terengganu.


Menurutnya lagi, pembangunan di Hulu Terengganu tidak pernah ditinggalkan bahkan daerah itu merupakan pelengkap kepada negeri Terengganu.

Program tersebut adalah siri yang keempat yang diadakan selepas diadakan di daerah Besut, Setiu, Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang menjadi medium pemimpin negeri menerima kritikan dan menerangkan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan kepada rakyat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: