Sunday, 10 March 2019

Kerajaan Negeri Laksana Pemutihan Semula TKPM

SHARE

KUALA TERENGGANU, 10 Mac -Kerajaan negeri kini sedang melaksanakan pemutihan semula senarai peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang tidak mematuhi perjanjian sebagaimana tujuan dan objektif ia diwartakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ini merupakan antara kerja pemulihan dan penambahbaikan yang sedang dibuat oleh pihak kerajaan terhadap peserta TKPM yang tidak mengusahakan tanah yang disewa, membiarkan tanah ditumbuhi semak samun, memberi sewa tanah kepada pihak lain dan tidak menjelaskan bayaran sewa.

"Pemutihan ini perlu bagi memastikan maksud tanah TKPM ini menepati objektif ia diwartakan.

"Kita perlu masukkan peserta baru yang benar-benar berhajat kepada tanah untuk diusahakan agar tanah yang diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan benar-benar mampu menghasilkan sumber makanan kepada rakyat negeri kita,"ujarnya dalam satu kenyataan kepada media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Menurut Dr. Azman, TKPM ialah tanah kerajaan yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai kawasan pengeluaran makanan dengan Pengarah Pertanian Negeri bertindak sebagai Pegawai Pengawal manakala empunya hak milik tanah adalah Pihak Berkuasa Negeri.

"Di seluruh Terengganu terdapat sekitar 1,022 hektar tanah yang telah diwartakan sebagai TKPM.

"Tanah ini disewakan kepada pengusaha untuk ditanam dengan tanaman kontang yang menghasilkan makanan sahaja seperti sayuran serta buah-buahan dan tanaman kekal tak dibenarkan,"ujarnya lagi.

Tambahnya, permohonan untuk menyewa tanah TKPM boleh diajukan melalui Jabatan Pertanian Daerah masing-masing.

"Seterusnya satu Jawatankuasa TKPM yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian akan menimbang setiap permohonan yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian.

"Akhirnya kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat keputusan berdasarkan syor dari jawatankuasa TKPM,"kata Dr. Azman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata, sewa TKPM di Terengganu adalah yang terendah di Malaysia.

" Hanya RM150/hektar setahun. Bagi saya, biarlah kadar sewa kita kekal rendah asalkan rakyat dapat manfaat dan memperolehi hasil dari usaha mereka,"ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: