Tuesday, 12 March 2019

Kepentingan Ilmu Pengurusan Jenazah

SHARE


Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 9 Mac –Pengurusan Jenazah adalah Fardu Kifayah dan wajib dipelajari serta diketahui oleh semua umat Islam apabila berlakunya kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tidak ramai yang boleh tampil kehadapan jika berlaku kematian walaupun waris terdekat yang meninggal.

“Pengurusan jenazah hukumnya fardu kifayah, kita perlu mengambil tahu dan mempelajarinya seperti bidang lain kerana kematian ialah hakikat yang pasti berlaku. Pengurusan jenazah ini sebenarnya mudah dilakukan, tetapi dianggap sukar apabila tidak mempelajari.

“Kerajaan juga memberi insentif kepada juru mandi dan pembantu juru mandi jenazah yang bertauliah bagi menghargai pengorbanan mereka yang banyak membantu masyarakat sekeliling yang berhajat mendapat khidmatnya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penutup Kursus Pengurusan Jenazah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Di Masjid Gong Kijang baru-baru ini.

 Hadir sama Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Azmi Tengah.


Kursus dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Tunggal anjuran bersama Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Majlis Pengurusan komuniti Kampung (MPKK) Gong Kijang, Gong Sentul dan Badan Khairat Kematian masjid itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Menurut Dr. Alias, antara imbuhan yang diperolehi oleh juru mandi dan pembantu yang berdaftar ialah elaun bulanan dan skim khairat kematian berjumlah RM 2000 jika perkhidmatan melebihi tempoh lima tahun manakala RM 1000 untuk perkhidmatan kurang dari lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Program untuk kursus ini, Ustaz Badrul Sufi Ahmad berkata, antara objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang ilmu pengurusan jenazah di samping melahirkan pelapis-pelapis baharu yang sedia berkhidmat untuk ummah apabila berlaku kematian.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: