Monday, 18 March 2019

Keadilan Buat Keluarga Mangsa Keganasan Di Christchurch

SHARE
Ahmad Amzad Hashim


Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Pengganas yang membunuh orang awam di New Zealand haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman mati bagi mengadili perbuatan kejam yang telah dilakukannya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan pengganas tersebut sangat terkutuk sehingga sanggup membunuh orang yang tidak berdosa.

Jelasnya, kejadian yang mengejutkan seluruh dunia itu amat bertentangan dengan nilai kemanusiaan, lebih-lebih lagi New Zealand adalah sebuah negara yang mengutamakan keamanan.

“New Zealand sebelum ini kami anggap sebagai sebuah negara yang selamat dan tidak ada ancaman yang luar biasa terhadap keselamatan anak-anak kami.

Sehinggalah bila berlaku kejadian mengejutkan tembakan yang dilakukan di masjid oleh seorang lelaki berasal dari Australia pada waktu umat Islam mahu menunaikan ibadah solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Tambah beliau, perbuatan keji tersebut merupakan satu provokasi yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan permusuhan dengan umat Islam.

“Ia merupakan suatu perlakuan terrorisma dan jenayah yang terkutuk yang langsung tidak berperikemanusiaan dan kami seperti masyarakat antarabangsa mengutuknya sekeras kerasnya.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam sedangkan Islam sangat menganjurkan pendamaian dan mengecam kezaliman dan keganasan.

“Realiti yang berlaku adalah umat Islamlah mangsa yang telah dan sedang mengalami kezaliman serta keganasan yang berterusan di seluruh dunia melalui siri-siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, beliau memuji usaha Perdana Menteri New ZealandJacinda Ardern yang ingin menanggung semua kos pengebumian serta memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa serangan pengganas.

“Kami mengalu-alukan dan memuji kenyataan Perdana Menteri New Zealand yang mahu menanggung kos pengebumian dan memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: