Tuesday, 12 March 2019

Kapal 'RV Discovery' Pertama Di Malaysia Belayar Esok

SHARE

Sultan Mizan diiringi Dr Samsuri melawat kapal RV Discovery.

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) : Menelusuri LIMA’19 bersempena Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2019 (LIMA’19), akan bermula esok di Jeti Duyung Marina.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, misi pelayaran tersebut akan menggunakan kapal penyelidikan milik UMT iaitu Research Vessel (RV) Discovery.

Jelasnya, UMT merupakan institusi yang bergiat aktif di pelbagai peringkat dalam bidang sains marin dan juga merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai kapal penyelidikan.

“RV Discovery mengelilingi Semenanjung Malaysia menerusi dua laluan maritim, Laut China Selatan dan Selat Melaka selama 20 hari bersama 25 saintis.

“UMT sebagai antara universiti yang mempelopori bidang sains marin di negara ini dan satu-satunya yang mempunyai kapal penyelidikan,” katanya.
 
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar. 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Jeti Duyung Marina & Resort, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Terengganu, Dato' Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Terengganu, Mohd Zahari Md. Azahar, Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Naib Canselor UMT. Prof. Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dato' Seri Dr Halim Mohamad serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT.

Nor Aieni berkata, majlis pelancaran itu merupakan langkah permulaan sebelum UMT dan Terengganu melangkah lebih jauh dalam bidang penyelidikan saintifik dan maritim.

Ujarnya, kajian yang dicapai oleh pihaknya akan dihebahkan kepada umum agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua.



“Majlis pelancaran pada hari ini akan menjadi pembuka tirai bagi pelayaran penyelidikan Saintifik UMT.

“Hasil daripada ekspedisi ini akan diterbitkan dalam bentuk penulisan saintifik serta artikel di media utama supaya maklumat yang dijana akan dapat diguna pakai,” tambah beliau.
  
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: