Tuesday, 5 March 2019

Jom Sihat Ajak Masyarakat Cakna Kesihatan

SHARE
Aktiviti 10,000 langkah.
Oleh: Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 5 Mac - Program Jom Sihat yang telah diadakan di Wakaf Tengah berjaya mendidik masyarakat untuk cakna dan menghargai kesihatan dalam kehidupan seharian.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, tubuh badan yang sihat dapat menghalang diri daripada dijangkiti pelbagai penyakit yang merbahaya.

Jelasnya, beriadah dan bersukan merupakan alternatif terbaik bagi menjamin kesihatan yang berterusan sebagaimana sabda Nabi.

"Kesihatan satu perkara yang diambil berat oleh Nabi SAW sebagaimana hadisnya, ingatlah kamu lima perkara sebelum datang lima perkara, antaranya Nabi sebut jagalah kesihatan sebelum sakit.

“Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri kita daripada terkena sebarang penyakit,” katanya.

Shaharizukirnain Abd Kadir.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan aktiviti 10,000 Langkah di Pasar Wakaf Tengah, semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan isteri serta pimpinan masyarakat di peringkat DUN dan daerah Setiu.

Sementara itu, seorang peserta, Salmah Awang yang ditemui berkata, program riadah dan ceramah yang dianjurkan itu perlu diteruskan pada masa akan datang.

"Seronok dapat jalan beramai-ramai di samping dapat mengeratkan silaturrahim dan menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan kesihatan dari mereka yang pakar,” katanya merujuk kepada ceramah kesihatan yang disampaikan oleh seorang pegawai perubatan Dr. Farhaana Husainy Hasbullah.

Aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma dan derma darah turut diadakan di Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah dan dihadiri oleh 300 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
 
Disertai pelbagai lapisan masyarakat.
Program itu dianjurkan oleh Ameerah dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu (i-MiTS) DUN Batu Rakit.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: