Wednesday, 20 March 2019

JKMS Bantu Bomba Padam Kebakaran Tanah Gambut Di Lembah Bidong

SHARE

Oleh : Abd Muhaimin Muhammed dan Ariss Alias

SETIU, 20 Mac – Kebakaran tanah gambut yang melibatkan tanah Ladang Sawit Tabung Haji dan Ladang Rakyat Lembah Bidong seluas 130 hektar turut mendapat bantuan Jawatankuasa Khidmat Malaysia Setiu(JKMS) dalam operasi pemadaman bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Malaysia Setiu Muhammad Nor Hamid berkata, beliau turut mengarahkan Jabatan Amal Setiu dan Muslimat PAS Cawangan Merang untuk menyediakan makanan dan pembekalan untuk semua anggota bomba.

"Kami mula bertugas sejak petang 18 Mac dan akan teruskan sehingga pemadaman kebakaran ini berakhir.

"Kami juga  menyediakan makanan untuk seramai 150 orang bagi memastikan ia mencukupi, kerana terdapat juga anggota dari agensi lain yang turut hadir sebagai tanda penghargaan kepada anggota bomba yang bertungkus-lumus dalam operasi pemadaman ini,”katanya ketika ditemui media Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), di sini hari ini.


Sementara itu, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Setiu  merangkap Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir  sempat meluangkan masa ke tempat kebakaran dan telah mengarahkan skuad Jawatankuasa Khidmat Malaysia Setiu dan dibantu oleh cawangan PAS untuk bekalkan barangan mentah dan memberi pertolongan sekadar yang mampu.

“Pihak kita telah buat jadual memasak yang melibatkan muslimat PAS Mukim Merang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota bomba yang terlibat dalam operasi sejak 11 Mac serta kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam operasi pemadaman kebakaran di Tanah Gambut Lembah Bidong ini.

"Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anggota bomba, dijangka dalam lima hari atau seminggu lagi kebakaran ini akan dapat dipadamkan,"ujarnya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Tuan Mustafa Ismail berkata beliau yang juga merangkap Pengurus Kebajikan Anggota Bomba Pemadamann Tanah Gambut Lembah Bidong bersyukur kerana mendapat sokongan daripada Ustaz Shahrizukirnain Abdul Kadir Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu yang juga merangkap Ahli Parlimen Setiu.

"Sehingga kini JBPM telah berjaya memadamkan kawasan seluas 110 hektar menggunakan teknik membanjirkan kawasan atau "total flooding. Teknik "fire break" iaitu kaedah menggali parit pula digunakan bagi mengelak kebakaran merebak.

"Saya mewakili semua anggota bomba juga mengucapkan terima kasih kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu mendapat bantuan sumbangan dan sokongan moral daripada Jawatankuasa Khidmat Malaysia Setiu,”tambahnya lagi.

Kebakaran tanah gambut yang bermula 11 Mac lepas kini masuk hari ke-11 melibatkan tanah ladang sawit Tabung Haji dan Ladang Rakyat Lembah Bidong. Sehingga artikel ini ditulis anggota bomba daripada 11 balai bomba dalam Negeri Terengganu berjaya memadamkan kebakaran seluas 39 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 65 hektar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: