Thursday, 7 March 2019

JHEAT Keluarkan 18 Sijil Tauliah Penyembelih

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengeluarkan Sijil Tauliah Penyembelih (STP) kepada 18 pemohon bagi tempoh dua tahun, yang menjadikan keseluruhan 137 pemegang sijil itu seluruh Terengganu sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, semua penerima yang memenuhi syarat yang termaktub di dalam Prosedur Tauliah Penyembelih menerima STP selepas hadir kursus dijalankan oleh JHEAT termasuk lulus ujian bertulis, lisan dan amali dengan jayanya.

“Sijil Tauliah Penyembelih merupakan satu usaha yang diteruskan bagi menjalankan proses penyembelihan mengikut prosedur yang telah ditetapkan mengikut syariat Islam dari segi syarak dan teknikal.

“Sehingga hari ini, terdapat 137 pemegang STP yang layak dan memenuhi syarat-syarat seperti beragama Islam, warganegara Malaysia atau anak tempatan dan lulus ujian yang diberikan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan  Program Tazkirah Bulanan 2019 dan Penyampaian Sijil Tauliah Penyembelih anjuran JHEAT di Dewan Terbuka, Kompleks Seri Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Azmi Mat Arsyad dan ketua-ketua jabatan berkaitan.

Sementara itu, Mohd Nor turut mengulas mengenai isu sembelihan ayam yang tidak menepati syarak dengan pertanyaan dan kemusykilan dari orang ramai berkaitan status halal ayam sembelihan yang berada dalam pasaran negeri ini.

“Sehingga hari ini, pihak JHEAT tidak menerima apa-apa aduan tentang perkara ini kecuali ada satu atau dua aduan namun ia cuma salah faham sahaja.

"Ini kerana proses untuk mendapatkan sijil halal dan STP bagi pusat penyembelihan perlu melalui syarat-syarat ketat, termasuk dari aspek kebersihan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, JHEAT sentiasa memantau isu status halal ayam sembelihan yang sering menjadi viral di media sosial hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna khususnya yang beragama Islam.

“Pemantauan dan siasatan sentiasa dibuat oleh JHEAT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal serta agensi penguatkuasa lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Justeru orang ramai dinasihatkan tidak terburu-buru dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan dan salah faham dalam masyarakat. Saya percaya produk di negeri ini masih lagi terkawal dari segi halal haramnya,”ujar Mohd Nor lagi.

Untuk rekod, STP adalah satu langkah awal ke arah melahirkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi Skim Rumah Sembelih di Terengganu.

Terdapat lima rumah sembelih di Terengganu yang mempunyai SPHM iaitu, HAD Poultry, Musalmah Farm, Abatoir Gong Badak, Abattoir Dungun Dan Ayam Besut Trading.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: