Saturday, 23 March 2019

Jelajah Anak Terengganu Bersama Exco Usaha Kerajaan Santuni Perantau

SHARE
Pembentangan Bajet 2019 dapat sambutan anak rantau.
BATU PAHAT, 23 Mac - Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu dalam memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada anak-anak Terengganu yang berada di perantauan.

Bahkan, untuk tujuan itu, Exco-exco Kerajaan Terengganu diminta menyesuaikan bidang tugas (portfolio) masing-masing selaras dengan dasar Islam yang menjadi tunjang pentadbiran negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, arahan tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar seawal pemerintahan untuk mencapai misi negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

"Ini merupakan strategi utama kerajaan untuk melaksanakan manifesto dan Bajet 2019 yang diumumkan baru-baru ini.

"Kita juga mewujudkan pelaksanaan patuh syariah dalam pelbagai aspek termasuk sukan, membangunkan modal insan melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat melalui pelbagai program," katanya.

Wan Sukairi tegaskan Islam sebagai dasar negeri tidak pinggirkan aspek sukan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan perincian bajet dalam program tersebut peringkat zon selatan di The Katerina Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh yang menjadi salah seorang panel sesi dialog bersama Wan Sukairi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Dr. Hashim Azmi Che Noh, Timbalan Pegawai Eksekutif II Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS), Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Majlis anjuran Yayasan Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri itu meraikan 250 anak negeri terdiri daripada ahli-ahli PERMATA dan Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) di negeri Melaka dan Johor.

Sesi dialog beri peluang anak rantau kemukakan persoalan.
Wan Sukairi memaklumkan, walaupun Islam menjadi dasar negeri, pembangunan sukan dan belia tidak dilupakan.

"Kerajaan Terengganu sentiasa  bersikap terbuka bahkan dalam bajet kali ini, kita memberikan sejumlah besar peruntukan untuk mengekalkan penguasaan atlet kita di Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020," katanya.

Bagi zon Selatan, Dr. Mamad telah dilantik sebagai bapa angkat PERMATA bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar pula dilantik sebagai bapa angkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir. Saiful Azmi Suhaili sebagai bapa angkat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).











SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: