Sunday, 10 March 2019

Jaulah Tarbawi Pulau Perhentian Eratkan Ukhuwah

SHARE


 Oleh : Jusmawari Jusoh

BESUT, 9 Mac – Program Khidmat Masyarakat Perdana atau Jaulah Tarbawi Pulau Perhentian dapat merapatkan jurang antara wilayah di antara penduduk pulau dan darat termasuk hubungan ukhuwah pemimpin dengan masyarakat.

Penyelaras Parlimen Besut, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, objektif program adalah untuk merapatkan hubungan antara pimpinan dan masyarakat melalui medium kebajikan dan dakwah di samping menyuburkan nilai dan cinta kesukarelawan di antara peserta-peserta program Jaulah Tarbawi.


Katanya, melalui program ini, pihaknya  juga dapat mengimarahkan masjid dengan program pengisian agama dan dakwah.

“Dengan berlakunya perubahan politik pada 9 Mei 2018, maka usaha perlu dilakukan dengan serius untuk menyuntik kesedaran beragama kepada masyarakat tempatan. Kebanjiran pelancong-pelancong asing telah mengubah landskap sosio ekonomi pulau indah ini, dengan rempuhan budaya yang merosakkan sistem nilai masyarakat tempatan Besut.

“Keterlibatan anak muda tempatan dengan seks bebas, kejahilan ilmu agama,ketagihan arak dan dadah antara sisi gelap masyarakat Pulau Perhentian. Oleh itu, PAS Besut dengan kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen Besut dan Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut telah melaksanakan program Jaulah Tarbawi pada kali ini,”katanya kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi, semalam.


Program Jaulah Tarbawi di Pulau Perhentian yang diadakan pada 8 dan 9 Mac lalu turut dihadiri  oleh 100 orang sukarelawan terdiri daripada Amal Besut, Kadet Amal dan Sukarelawan dari Tahfiz Annur Besut.

Justeru itu, beliau berharap program ini akan melahirkan rasa ukhuwah berpanjangan juga berjaya menyuntik semangat peserta untuk terus menjadikan kerja dakwah sebagai tugasan penting dalam kehidupan serta mendekatkan masyarakat Pulau Perhentian dengan masjid dan aktiviti keagamaan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: