Sunday, 3 March 2019

Iktiraf Pilihan Yang Dibuat Rakyat PRK Semenyih - MB Terengganu

SHARE

SETIU, 3 Mac - Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpendapat, perkara yang penting dalam sistem demokrasi adalah dengan mengiktiraf pilihan yang dibuat oleh rakyat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam menunjukkan keyakinan pengundi Semenyih terhadap calon pembangkang yang dipilih.

Ahmad Samsuri  berkata, pengundi sebenarnya mempunyai sebab-sebab tersendiri menolak calon Pakatan Harapan (PH) sebagaimana dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu termasuk faktor-faktor semasa.

Katanya, keputusan itu diharap tidak akan mewujudkan tindak balas tidak sihat dalam proses demokrasi di negara ini.

“Parti mana pun yang memerintah di peringkat pusat mahupun negeri, parti berkenaan tidak harus menzalimi dan menghukum rakyat yang membuat keputusan.

“Kita ingin menuju ke arah negara demokrasi yang sihat dan salah satu perkara yang penting dalam sistem demokrasi adalah mengiktiraf pilihan yang dibuat oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar (MB) Terengganu, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada calon BN yang memenangi PRK Semenyih.




























SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: