Thursday, 28 March 2019

Hasil Jeruk Melon Manis Elak Lambakan

SHARE


KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Pengusaha tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di negeri ini disaran mempelbagaikan produk hiliran, termasuk menjadikan hasil tanaman itu sebagai pewangi, jeruk, jus minuman, kordial dan aiskrim.

Langkah itu bagi mengelak lambakan MMT yang kurang berkualiti, selain mampu menambah pendapatan  sampingan sehingga mencecah ribuan ringgit .
\
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, penduduk yang terlibat dengan tanaman itu sewajarnya mengambil peluang.
Katanya, langkah itu bagi mengelak berlakunya lambakan  MMT yang tidak mencapai kilogram (kg) dan gred yang ditetapkan.

“Pihaknya sentiasa memastikan MMT mencapai gred A, kulit berwarna kuning dan licin, tekstur isinya rangup, manis serta berat purata antara 1.2 hingga 1.8 kg untuk dipasarkan di serata negeri dan luar negara.

“Sekiranya tidak mencapai kehendak itu, MMT dianggap kurang berkualiti,”katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Hala Tuju Melon Manis, di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.

Dr Azman turut memberitahu mereka yang sudah mencuba  mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil jualan  jeruk MMT yang dipasarkan di beberapa kedai runcit dan melalui laman sosial.

Katanya, menyedari langkah itu boleh memberi pendapatan lumayan kepada penanam, kerajaan bersedia membantu mendapatkan ilmu berkaitan dengan mengikuti kursus dengan pihak tertentu.

“Pihak Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) dan pemilik syarikat Jeruk Madu Pak Ali pastinya mahu membantu dan  menjalankan kerjasama,”katanya

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: