Tuesday, 19 March 2019

Hampir RM1 Juta Dana Pinjaman Peniaga Bulan Ramadan

SHARE
Foto ; Muhammad Afif Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Hampir RM1 juta dana pinjaman akan diberikan kepada  para peniaga dan penjaja Bazar Ramadan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, usahawan yang layak boleh membuat permohonan melalui persatuan.

"Saya umumkan bahawa permohonan daripada Persatuan Penjaja negeri Terengganu untuk bagi pinjaman jangka pendek sempena bulan Ramadan. InsyaAllah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah meluluskannya.

"Walaupun pada peringkat kerajaan tiada peruntukan khusus untuk pinjaman ini, tetapi atas budi bicara YPU kita ambil sekejap untuk diberikan kepada peniaga,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali yang ke-19 di Dewan Seri Budi, Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.
  

Menurutnya, dana tersebut disediakan kerana pihak kerajaan mengetahui para usahawan memerlukan suntikan modal baru bagi menghadapi kedatangan bulan yang mulia itu.

Katanya, keputusan itu menunjukkan kerajaan negeri bersama dengan 'denyut nadi' peniaga dan penjaja.

Oleh itu, beliau berharap pihak terbabit dapat mengambil manfaat daripada peluang yang disediakan oleh kerajaan itu.

"Kelulusan yang kita buat (beri) antara RM1,000 hingga RM3,000. Harapan besar agar pembayaran dibuat mengikut masa yang ditetapkan.

"Pinjaman akan dikeluarkaan pada bulan syaaban dan mesti dibayar balik pada bulan Syawal,” ujarnya.


Justeru itu, beliau berharap mudah-mudahan para peniaga dan seluruh rakyat Terengganu mendapat keberkatan pada bulan Ramadan yang akan tiba.

"Gunakan peluang ini sebaik mungkin dengan usaha kita bersama-sama mengejar amal ibadat yang ditawarkan kepada kita.

“Janganlah perniagaan kita menjadi penyebab kepada kita meninggalkan tawaran (pahala) yang besar dijanjikan oleh Allah,”katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: