Wednesday, 6 March 2019

GPB Catat Keuntungan RM1.82 Juta Bagi Tahun 2018

SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Golden Pharos Berhad (GPB), sebuah anak syarikat kerajaan negeri, mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18) berbanding  RM0.5 juta tahun lalu.

Hasil pendapatan syarikat pula meningkat sebanyak 13 peratus lebih tinggi kepada RM74.12 juta berbanding RM65.64 juta yang mana kebanyakannya disumbang oleh segmen pembalakan dan pengilangan.

GPB berkata, bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2018 (Q4 2018), keuntungan syarikat mencatatkan penurunan sebanyak RM0.17 juta berbanding RM5.4 juta dalam tempoh yang sama manakala hasil pendapatan menurun sebanyak 11 peratus kepada RM21.59 juta berbanding RM24.34 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam satu pengumumannya kepada Bursa Malaysia, keuntungan syarikat adalah disebabkan oleh pengeluaran kayu balak bergergaji yang tinggi di mana ia mencatatkan jumlah peningkatan jualan kayu balak bergergaji sebanyak 40 peratus iaitu RM42.22 juta bagi FY18 berbanding RM30.11 juta sebelum itu.

“Aktiviti pembalakan berlesen yang aktif sepanjang tahun 2018 turut memberi kesan kepada keuntungan syarikat berbanding tahun yang sebelumnya di samping aktiviti perniagaan kayu serpai yang turut menyumbang kepada keuntungan hasil pendapatan syarikat.

“Pada masa hadapan, aktiviti penebangan, mengilang papan dan pengeringan tanur  dijangka akan membantu hasil pendapatan syarikat dalam suku pertama 2019 walaupun musim hujan melanda di kawasan penebangan yang  beroperasi,” kata GPB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Manakala dalam segmen pembuatan pula, kumpulan itu yakin dengan pengoperasian semula veneer mampu menjana pendapatan positif kepada syarikat dalam suku yang akan datang.

Walaubagaimanapun, GPB berkata, segmen pembuatan akan terus bersaing sengit berikutan dengan permintaan pembeli yang ingin mengurangkan harga dan syarat kredit yang lebih panjang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: