Friday, 1 March 2019

Garap Wanita Terengganu Beauty With Brain

SHARE

Oleh: Dayang Syafiqah Sallehan Wahab            
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Kerajaan negeri mengambil inisiatif memartabatkan golongan wanita ke arah yang disifatkan sebagai ‘beauty with brain’ melalui penganjuran Seminar Hala Tuju Wanita Terengganu yang bakal berlangsung pada 5 Mac ini.

Bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu, orang ramai khususnya wanita Terengganu dijemput hadir bagi sama-sama menjayakan seminar berkenaan.

Menurut Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar Terengganu, Khairiah Mokti, seminar itu bertujuan menggarap pemikiran wanita di semua peringkat dan menggabung jalinkan semua pandangan yang diutarakan kepada satu agenda dan matlamat kerajaan negeri.

Beliau yang bertindak selaku pengarah program menyatakan seminar yang bakal dianjurkan itu membantu wanita Terengganu untuk lebih memahami konsep kehidupan ke arah kesejahteraan selaras dengan agama yang diaplikasikan dalam kehidupan.

“Kita ingin menyatukan pemikiran golongan wanita terutama yang berautoriti seperti doktor dan peguam untuk menghasilkan hala tuju terbaik bagi wanita Terengganu.

"Selain itu, ia secara tidak langsung dapat menyambung silaturahim antara pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai yang hadir dalam usaha merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika berucap dalam slot Suara Kita di radio Manis. FM, semalam.

Khairiah turut memaklumkan, pengisian seminar akan dibentangkan tiga panel wanita daripada latar belakang berbeza terdiri daripada ahli akademik, ahli politik dan golongan professional.

"Pelbagai topik bakal dibincangkan antaranya ialah hal kekeluargaan, kerjaya menjurus kepada keperluan wanita selain bengkel- bengkel praktikal yang turut disajikan kepada orang ramai," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: