Thursday, 28 March 2019

Galak Usahawan Miliki Sijil Halal

SHARE
 Mohd Nurkhuzaini ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Kerajaan negeri mengalakkan penyertaan lebih ramai usahawan negeri ini memperolehi pengiktirafan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk dan perkhidmatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pada masa kini kurang 20 peratus daripada jumlah usahawan Terengganu memiliki sijil halal.

“Kalau dibandingkan dengan negeri-negeri di sebelah barat, kita agak ketinggalan mungkin kerana usahawan kita tidak begitu menerima desakan daripada pengguna yang menyebabkan mereka ini berada dalam zon yang selesa kerana tiada pihak yang memaksa.

“Justeru, antara usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan lebih ramai usahawan mendapatkan persijilan halal adalah memastikan semua usahawan yang terlibat dengan program dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu diwajibkan memiliki sijil halal,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Dewan Konvensyen YPU, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) juga mengambil inisiatif membantu para usahawan untuk memohon sijil halal.

“Sebagai contoh, jika sebelum ini tidak boleh mohon sijil halal kalau tidak memiliki premis, kita mudahkan dengan membenarkan mereka membuat permohonan setelah mematuhi syarat ditetapkan,” ujarnya.

Menurut beliau, antara punca usahawan menghadapi pelbagai kesukaran memohon sijil halal adalah disebabkan kos mendapatkan bantuan perkhidmatan agensi penasihat luar.

Katanya, agensi penasihat luar akan mengenakan kos bayaran yang terlalu tinggi bagi setiap permohonan.

“Hakikatnya, kos untuk memohon sijil halal adalah berpatutan dan tidak membebankan dan para usahawan boleh terus ke JHEAT bagiurusan permohonan sijil ini,” ujarnya.

Katanya, tidak ada kekangan sebenarnya untuk usahawan memohon sijil halal dan kerajaan negeri akan terus me­ngadakan pelbagai program bagi membantu memudahkan para usahawan memiliki sijil halal.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: