Thursday, 28 March 2019

Fokus Isu Wanita Jadi Agenda Utama - Zuraida

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada empat permasalahan utama yang melibatkan kaum wanita di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md. Noor berkata, pihaknya memfokuskan empat masalah utama itu dengan memastikan hak-hak mereka ditunaikan dan bukannya mengeksploitasi golongan ini untuk keseronokan dan keuntungan.

Katanya, salah satu permasalahan melibatkan diskriminasi wanita dalam pekerjaan sedang ditangani dengan Terengganu menjadi contoh dari sudut mengiktiraf bakat dan kemampuan wanita dalam kemajuan negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri berusaha mendidik pemuda dengan akhlak agama supaya menjadi golongan yang kuat (qawiy) dan amanah (amin) sehingga golongan wanita merasa selamat dan tenteram serta memastikan masalah keganasan terhadap wanita dapat diatasi.

“Pengabaian tanggungjawab terhadap wanita juga akan diambil serius terutama dalam isu nafkah ke atas mereka kerana apabila dibebani dengan tanggungjawab yang melebihi kemampuannya, kita khuatir situasi ini akan membawa kerosakan institusi kelurga dan moral.Oleh sebab itu, pihak kerajaan negeri juga akan memandang serius tentang perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi Tea  Noor Arfa Batik Bersama Wanita Terengganu 2019 di Bilik Seminar Noor Arfa Craft Complek (NACC) di Chendering, baru-baru ini.


Turut hadir, Timbalan Pengerusi Noor Arfa Holding Sdn Bhd, Noor Hijerah Hanafiah dan wakil-wakil wanita dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dalam majlis tersebut, Zuraida turut diumumkan sebagai Ikon Wanita Noor Arfa Batik 2019.

Menurut Zuraida lagi, selain itu, pendidikan masa depan wanita juga menjadi agenda perjuangan kerajaan dalam membangunkan negeri.

“Tidak wajar jika ada rakyat yang tidak mendapat pendidikan atas faktor kesusahan. Kita harus sedaya upaya untuk pastikan setiap rakyat yang mahukan ilmu mendapat peluang pendidikan,” katanya.

Tambahnya, perkara tersebut merupakan antara intipati yang akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung 1 April ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: