Wednesday, 13 March 2019

Fahami Objektif Syarikat, Tingkatkan Prestasi Kerja

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 13 Mac- Kakitangan PESAKA Terengganu Berhad disarankan supaya memahami objektif syarikat agar prestasi kerja berkualiti dapat ditingkatkan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setiap kakitangan syarikat perlu mempunyai pengetahuan tentang objektif yang ingin dicapai.

"Kalau pekerja tidak tahu matlamat dan target yang ingin dicapai maka ianya akan memberi kesan kepada prestasi mereka ketika menjalankan tugas.

"Ini kerana pihak pengurusan merupakan human capital  (modal insan) yang menjadi perancang manakala kakitangan syarikat pula sebagai pelaksana dan kejayaan sesebuah syarikat sudah tentu terletak pada perancangan di peringkat atasan untuk diterjemahkan di peringkat bawahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin, di PESAKA Terengganu Berhad, Bukit Besi, di sini semalam.

Justeru katanya, setiap organisasi kerajaan negeri perlu melaksanakan konsep 'Al-Falah' untuk serlahkan pencapaian matlamatnya.

Menurutnya, Al-Falah ialah satu konsep mengundang kejayaan sesebuah organisasi bagi mencapai matlamat memajukan negeri berteraskan Islam.

"Bagi menjayakan konsep 'Al-Falah' ini sudah tentu perlu kepada pelaksanaan organisasi di seluruh peringkat termasuk di peringkat pengurusan dan diamalkan oleh petugas dengan menitikberatkan penjagaan solat dan mesra pelanggan," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: