Monday, 18 March 2019

Engku Sofiah Tamat Hafaz Al-Quran Lima Bulan Sepuluh Hari

SHARE

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari. Itu kemampuan luar biasa seorang remaja perempuan, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14, yang mela­yakkannya menjadi pelajar terbaik dalam Majlis Graduasi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Kali Pertama yang diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, hari ini.

Engku Sofiah berkata, sebelum menyertai program Akademi “Fast Track’ Huffaz Satu Tahun yang dikendalikan oleh AKMAL, dia telah mempunyai asas hafazan al-Quran melalui pembelajaran di sebuah madrasah di Kuantan ketika berusia 10 tahun sebelum memenuhi impian menghafal lebih banyak juzuk al-Quran, dengan menyertai AKMAL.

Pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Bayan, Paka itu berkata, sepanjang mengikuti program tersebut tahun lalu dia tidak menghadapi sebarang tekanan untuk menghafal al-Quran walaupun pada awalnya penyertaan dalam akademi itu kerana memenuhi kehendak kedua orang tuanya.

“Ketika di akademi, saya sentiasa mengaji dan tidak tinggal al-Quran. Kebiasaanya dalam sehari itu saya akan menghafal sekurang-kurangnya tiga muka surat. Semuanya atas kerelaan diri sendiri yang akhirnya menjadikan saya lebih berminat untuk terus menghafal.

“Alhamdulillah, dengan usaha ini, saya berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh kurang setahun,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Graduasi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Kali Pertama yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengasas & Pengerusi Eksekutif AKMAL, Hussin Ismail.

Seramai 20 orang pelajar AKMAL telah berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang untuk sesi 2018.

Engku Sofiah yang bercita-cita menjadi ustazah mengakui, walaupun pada mulanya sangat susah baginya untuk menghafal al-Quran, namun teknik atau sistem yang diguna pakai di AKMAL banyak membantunya menghafaz dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, proses hafazan menjadi mudah kerana dia bukan sahaja menghayati isi kandungan al-Quran, bahkan turut memahami maksudnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: