Tuesday, 19 March 2019

Didik Anak-Anak Dengan Pendidikan Rohani Peranan Semua Pihak

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 19 Mac- Semua pihak harus memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dengan pendidikan rohani agar dapat melahirkan generasi yang mementingkan agama pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat amat bermakna untuk melahirkan permata ummah dimana pendidikan rohani perlu diberi perhatian serius terutamanya berkaitan ibadah solat.

“Pendidikan rohani terhadap anak-anak perlu diberi perhatian oleh semua pihak dalam usaha melahirkan permata ummah terutamanya memberi didikan menunaikan solat yang betul.

“Kepentingan memberi didikan pada awal usia umpama mengukir di batu yang mengekalkan ukiran yang tahan lama dan lasak.

“Oleh itu, selain ibubapa peranan di semua peringkat termasuk guru dan masyarakat haruslah berfungsi bagi melahirkan permata ummah ini,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kem Bestari Solat anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Besut yang disertai seluruh sekolah dalam daerah Besut di Masid Jabi, semalam.

Dr Azman yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengharapkan,  program-program keagamaan terus ditingkatkan agar pemahaman sebenar anak-anak terhadap Islam sebagai ‘addeen’ (agama) dapat difahami sedalamnya.

“Ramai anak-anak muda yang terjebak dalam masalah sosial pada masa kini adalah berpunca daripada tidak menunaikan solat. Jangan biarkan ia berlanjutan dengan kejahilan kerana merekalah yang bakal mewarisi kepimpinan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: