Sunday, 17 March 2019

Dewan Serbaguna Untuk Warga Paka

SHARE


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 15 Mac - Warga Paka bakal menerima kemudahan untuk beriadah dan melakukan pelbagai kegiatan bermanfaat apabila dewan serbaguna akan dibangunkan di kawasan itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, disebabkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka tidak mempunyai lokasi strategik untuk masyarakat beriadah, maka kerajaan negeri merancang membina pusat aktiviti masyarakat berkenaan sekali gus akan memastikan perancangan itu direalisasikan segera.

"Kita telah bersetuju untuk membina sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat mengadakan program-program," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program `Chit Chat Bersama YB Ustaz Satiful Bahri' di Pasti an-Nasihah Taman Murni Perdana, Paka, di sini, kelmarin.

Satipul berkata, pihaknya juga akan membangunkan sebuah mini stadium untuk kegunaan penduduk setempat dengan persetujuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

"Kita juga telah berbincang dengan Exco Belia dan Sukan (Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri) untuk membina mini stadium di DUN Paka ini.

"Kawasan (tapak) sudah siap semua, hanya tinggal untuk buat sahaja," kata beliau lagi.

Tambahnya, penduduk di sekitar Dungun juga akan menikmati manfaat daripada pembangunan Bandar Baru Lestari Dungun di kawasan seluas 760 hektar yang terletak di persimpangan susur keluar lebuh raya Dungun.

Katanya, prasarana itu mencakupi semua keperluan rakyat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, pasar, perkedaian dan perumahan yang berpusat di satu lokasi strategik.

Menurut beliau, hanya dua daerah, termasuk Besut yang mempunyai Bandar Baru Lestari di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu memberitahu, seperti dijanjikan sebelum ini, pusat rekreasi di hadapan Sekolah Kebangsaan Paka dan kolam di Taman Huda juga dalam proses pembinaan.

"Orang kita ni tidak ada tempat untuk berjoging, tempat mainan kanak-kanak, wakaf dan tempat aktiviti bersama berkeluarga, jadi kita wujudkan pusat rekreasi ini," katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: