Sunday, 3 March 2019

Cegah Penyakit Tiga Serangkai Seawal Usia

SHARE
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh (tengah).
Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 3 Mac - Gaya Pemakanan yang sihat harus dititikberatkan oleh segenap lapisan masyarakat bermula daripada usia yang muda.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung merupakan tiga penyakit paling membunuh di negara ini.

Jelasnya, peningkatan secara mendadak penyakit itu secara tidak langsung menyangkal dakwaan yang mengatakan penyakit itu hanya dihidapi oleh orang-orang kaya dan yang tinggal di bandar.

"Kita seharusnya mengambil berat tentang kesihatan diri kita bagi mencegah daripada mudah terkena penyakit yang berbahaya.

"Penyakit yang dikenali sebagai penyakit tiga serangkai sangat membimbangkan kerana ianya menjadi penyakit utama dalam masyarakat kita.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua agar makanlah mengikut keperluan, bukannya mengikut kemahuan. Apabila kita sakit bukan sahaja diri kita yang susah, malah orang lain juga menanggung kesusahan yang dialami oleh kita itu," ujar beliau.
 
Berucap pada program Program Mini Karnival Kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Mini Karnival Kesihatan DUN Kuala Besut di perkarangan Pusat Khidmat DUN Kuala Besut, semalam.

Program ini turut dihadiri oleh Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Zulkifli Kadir dan Pegawai Kesihatan dari Klinik Kesihatan Kuala Besut, Dr Azmi Zainudin.

Antara aktiviti yang terdapat dalam program ini ialah pemeriksaan kesihatan secara percuma serta rawatan perubatan Islam.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Kuala Besut, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan Darul Syifa' Jerteh ternyata mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: