Thursday, 28 March 2019

Calon Saintis Islam Terengganu Sudah Dikenal Pasti

SHARE
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan untuk program pendidikan Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Terengganu sudah mempunyai calon sesuai dan berkelayakan bagi melanjutkan pelajaran dalam Program Saintis Islam Terengganu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program yang ditaja oleh kerajaan negeri itu memilih pelajar yang paling cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelasnya, pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang baik dalam SPM berkenaan berjaya melalui beberapa proses dan saringan yang ketat.

“Sebagaimana komitmen kita dalam Bajet 2019, kita memperuntukkan RM15 juta bagi program biasiswa untuk anak-anak Terengganu, termasuk Program Saintis Islam Terengganu ini.

“Kita sudah ada calon, jika calon itu bersetuju menerimanya, kita akan buat pengumuman, namun jika dia menolaknya atas sebab-sebab tertentu, kita akan pilih calon lain,” ujarnya.

Ahmad Samsuri berucap merasmikan majlis.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ExxonMobil 2018 & Sumbangan Program-Program Pendidikan 2019 di Dewan Auditorium, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Naib Presiden & Pengarah Kewangan ExxonMobil Exploration and Production, Ernest Miller, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Rosman Roslan.

Kerajaan Terengganu akan menaja pelajar yang cemerlang dan terpilih dengan tajaan biasiswa penuh bermula daripada peringkat ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah (PhD) melalui Program Saintis Islam Terengganu itu.

Program yang sudah memasuki edisi kelima itu bertujuan untuk melahirkan saintis Islam yang hafaz 30 juzuk al-Quran, mendalami ilmu Islam dan pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pelajar bangsa Cina antara yang menerima anugerah pelajar cemerlang STEM 2018.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: