Thursday, 21 March 2019

Belia 21 Tahun Diminta Daftar Sebagai Pengundi

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 21 Mac- Semua belia yang berusia 21 tahun ke atas dan belum mendaftar sebagai pengundi dinasihatkan agar segera berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, mereka diingatkan supaya jangan berlengah dan bersegera mendaftar sebagai pemilih.

“Sekarang ini, kesedaran orang Melayu untuk berbuat demikian jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain.

"Jangan ambil mudah, ingatkan kepada anak-anak pentingnya mendaftar sebagai pengundi," ujarnya kepada pemberita selepas Program Ziarah ke Kampung Gong Pasir, semalam.

Sementara itu, menyentuh tentang program ziarah itu beliau berkata, rutin tersebut merupakan antara aktiviti yang sering diadakan untuk menyelami kehidupan penduduk.

Dalam program ziarah itu yang turut diiringi ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung tersebut, Alias dibawa ke rumah seorang ibu tunggal, Zalikha Salleh, 51 yang menjaga adiknya Ahmad Nizam, 36, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).


Menurut Alias, Zalikha yang mempunyai empat anak dimana tiga daripadanya masih belajar, hanya mampu menyara keluarga dengan mengasuh dua orang kanak-kanak dengan pendapatan tidak seberapa.

“Ahmad Nizam yang dijaga sejak sekian lama tidak tahu untuk menguruskan diri namun bernasib baik kerana mendapat sumbangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

“Justeru, bagi meringankan sedikit bebanan ibu tunggal itu, Zalikha telah dinasihatkan untuk mengisi borang e-kasih dan diminta berhubung mengenai perkara itu dengan pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN supaya kehidupan dia sekeluarga yang serba kekurangan dapat dibantu,” ujarnya Alias.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: