Wednesday, 20 March 2019

Bantuan TDI Ceriakan Pesakit Kronik

SHARE
Azbi Salleh (Kiri) menyerahkan cek bantuan TDI.

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 20 Mac - Bantuan Tabung Darul Iman (TDI) merupakan inisiatif kerajaan negeri bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pesakit kronik.
 
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, bantuan yang diterima itu memberi kecerian kepada mereka kerana dapat menampung kos rawatan penyakit yang dihidapi.

Jelasnya, kos perubatan yang tinggi ditanggung oleh mereka menyebabkan banyak urusan hidup seharian tergendala.

“Beban kos perubatan yang ditanggung sangat banyak, begitu juga dengan kesakitan yang ditanggung mereka membataskan pergerakan dan aktiviti mereka,” ujarnya.
 
Ziarah sambil menghulurkan bantuan.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi serta menyerahkan cek bantuan TDI kepada pesakit-pesakit kronik di sekitar DUN Kuala Besut, semalam.

Hadir sama dalam aktiviti ziarah itu ialah Pegawai Khas Penyelaras DUN Kuala Besut, Mohd Sulaiman serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Besut

Azbi turut berkata, kerajaan negeri komited untuk menyalurkan segala bentuk bantuan kepada rakyat bagi memudahkan urusan harian mereka.

Beliau juga berharap agar bantuan yang diberikan itu digunakan pada tempat yang sepatutnya.

"Walaupun bantuan (TDI) ini tidak banyak, namun ia menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu mereka yang diuji dengan penyakit.

"Saya berharap agar bantuan ini dapat digunakan dengan sebaiknya.

"Saya menyeru kepada pesakit-pesakit kronik agar memohon bantuan ini, Insya-Allah kami akan bantu sekadar yang mampu", tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: