Saturday, 9 March 2019

Anak OKU Permata Syurga

SHARE


Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 8 Mac- Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Haji Mohd Fazil Wahab menyifatkan anak-anak kelainan upaya merupakan permata syurga kerana mereka akan memimpin ibu bapa ke syurga sekiranya dibelai dengan kasih sayang.

Menurutnya, golongan ini merupakan asbab ibu bapa mereka ke syurga kerana ibu bapa yang dikurniakan anak seumpama itu akan memiliki tahap kesabaran yang tinggi.

"Allah tidak menimpakan sesuatu ujian terhadap mereka yang benar-benar bersabar dalam menghadapi ujian," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Seberang Takir di Balairaya Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu, Ghazali Awang dan kakitangan pengajar dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Tok Beng dan Gong Badak.

Turut serta, Penyelia i-MiTS Seberang Takir, Ustaz Muda Abdullah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Ketapang Pantai, Nazir Ismail dan masyarakat sekitar kampung tersebut.


Fazil berkata, ibu bapa yang memiliki anak sebegini cukup beruntung kerana mereka akan mendapat pahala percuma sekiranya  bersabar dan menerima qadak dan qadar yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Justeru itu, katanya, anak syurga itu perlu dididik sebaik mungkin dan masyarakat juga harus mengambil peranan untuk mengajak golongan itu bersama dengan masyarakat.

"Kita lihat ada sesetengah orang memandang serong tentang komuniti ini padahal ramai di antara mereka telah berjaya.

"Saya ambil contoh atlet paralimpik, mereka inilah yang mengharumkan nama negara dan menyebabkan Malaysia dikenali diserata dunia.

"Kita yang normal ini belum tentu boleh mengharumkan nama negara bahkan nama keluarga sendiri, tetapi anak-anak ini boleh mencipta dan mengharumkan nama mereka di persada dunia," katanya.

Pelbagai acara-acara menarik yang dipertandingkan sempena program itu seperti masuk manik ke dalam benang, lontar belon sayang di sayang dan cabutan bertuah.

Program dianjurkan oleh Hal Ehwal Wanita dan Masyarakat i-MiTS Seberang Takir dengan kerjasama Ameerah dan Muslimat DUN Seberang Takir.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: