Tuesday, 26 March 2019

5,000 Individu Bersedia Jadi Mata Dan Telinga Kerajaan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Hampir 5,000  individu di negeri ini  bersedia menjadi ahli Sukarelawan Alam Sekitar (SAS) atau 'mata dan telinga’ kepada kerajaan negeri bagi membantu memantau pencemaran alam sekitar, pencemaran sungai dan pecerobohan nelayan asing di Terengganu.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS), Mohamad Sanusi Md Nor berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bersedia bertugas melebihi skop biasa.

Katanya, bagi merealisasikan perkara itu, kerajaan negeri disaran menubuhkan pasukan SAS.

“Peranan mereka cukup penting kerana bukan sahaja menjadi mata dan telinga kerajaan, malah menjadi perantara kepada masyarakat dalam mendidik tentang pentingnya penjagaan alam sekitar.

“Kita perlu mengambil langkah awal berkaitan perkara ini bagi mengelak kejadian seumpama pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

“Walaupun di Terengganu, terutama di kawasan perindustrian Kemaman belum ada laporan pencemaran sungai akibat sisa toksik, sebaiknya kita perlu berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan LATAS di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dr Azman berkata, kerajaan akan meneliti perkara itu, sekiranya ada kesan positif untuk masyarakat, tidak salah untuk merealisasikannya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: