Sunday, 31 March 2019

200 Hektar Tanah Bakal Diwarta Sebagai ZIA Di Kampung Pak Kiang

SHARE
Dr Azman (dua dari kiri)  membawa makanan ikan siakap di Kampung Pak Kiang hari ini.
KOTA PUTERA,  31 Mac - Tanah seluas 200 hektar di Kampung Pak Kiang, Keluang di sini akan diwartakan sebagai taman kekal pengeluaran makanan untuk Zon Industri Akuakultur (ZIA) daerah Besut tidak lama lagi. 

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri,  Dr Azman Ibrahim dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Katanya, pewartaan itu bakal dibuat di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 dengan pengawasan Pengarah Perikanan Negeri sebagai pegawai pengawal. 

Dr Azman melawat kolam ikan kerapu hibrid di Keluang,  Besut.

Menurutnya penyelesaian berhubung dengan pewartaan itu dijangka mengambil masa sekitar enam bulan sahaja sebagaimana perkara yang sama berlaku di kawasan pembenihan ikan di atas tanah seluas 36 ekar  di Pantai Air Tawar Besut. 

"Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pegawai Perikanan Daerah Besut supaya menyiapkan pelan dan sebagainya dan mengangkat permohonan ke pejabat tanah daerah Besut untuk proses pewartaan, " jelasnya. 

Selepas diwartakan katanya,  kerajaan negeri akan menyenaraikan peserta di kawasan tersebut dengan mengenakan sewaan semurah RM100 sehektar setahun.

Dr Azman (tengah) cuba memberi makan ikan siakap di sebuah kolam milik seorang peserta di Kampung Pak Kiang.

"Peserta ini akan dapat duduk (menjalankan perusahaan mereka di situ)  dengan mematuhi undang-undang dan tidak ada orang akan kacau perusahaan mereka.

"Dalam masa yang sama kelestarian industri perikanan di sini boleh terus terjamin, " jelasnya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, bagi peserta yang bermasalah dari segi modal pula,  kerajaan akan memanfaatkan Skim Bantuan Modal Tani yang telah dilancarkan pada 29 Januari lalu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Sedikit sebanyak,  saya telah bagi taklimat bagaimana bantuan modal tani ini boleh dipohon dan dimanfaatkan," jelasnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: