Sunday, 17 February 2019

Zulfikri Bergantung Hidup Dengan Alat Bantuan Pernafasan

SHARE
Zulfikri Zulkifli, 24.


Oleh : Adli Mohamad 

DUNGUN, 17 Februari - Hidup Zulfikri Zulkifli, 24,  sekarang tidak seceria dahulu apabila terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan untuk meneruskan hidup.

Ibu kepada Zulfikri, Siti Zaleha berkata, dia amat berharap untuk melihat anaknya kembali gembira dan tidak terus murung setelah menderita penyakit sesak nafas sejak sebulan yang lalu.

"Walaupun sukar, saya reda menerima hakikat berkenaan. Bagi saya keadaannya tidak menyusahkan saya, sebaliknya dialah inspirasi dan juga kekuatan kepada saya menghadapi cabaran didalam kehidupan.

"Apa yang mengharukan saya, dia nak sangat solat dengan sempurna seperti orang lain, pada kebiasaanya dia tidak mampu (bertahan) untuk bersolat lama," ujar Siti Zaleha yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, ketika Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman hadir menziarahi anaknya, di rumahnya di Kampung Bukit Besi, Khamis lalu.

Menurutnya, walaupun reda dengan keadaan demikian, terdapat kesulitan yang dihadapi olehnya apabila alat bantuan pernafasan perlu disewa dengan kadar bayaran melebihi RM300 sebulan.

"Walau bagaimanapun keadaannya, adalah menjadi tanggungjawab kepada saya untuk memberikan kehidupan yang sempurna kepadanya.

"Zulfikri selain mengalami masalah berkaitan kesihatan. Dia juga dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana lembam didalam pelajaran," ujarnya.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi akan mengusahakan bantuan untuk Zulfikri.

Sehubungan dengan itu, Ghazali berkata, beliau akan cuba menghubungi pihak berkenaan bagi mendapatkan bantuan untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh Zulfikri.

"Saya akan laporkan perkara ini dengan seberapa segera kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Daerah Dungun bagi membantu beliau terus mendapatkan alat bantuan pernafasan.

"Dengan mendapat alat yang lebih baik kerana oksigen yang diterima sekarang tidak mencukupi.

"Dan selain itu perlunya ada alat untuk memeriksa dan mengukur dari semasa kandungan oksigen yang diterima adalah mencukupi," ujar Ghazali.

Tambahnya lagi, Zulfikri perlu dibantu, dijaga dan diberi perhatian yang sewajarnya.

"Apa yang diharapkan adalah mengembalikan senyuman agar dapat memberi sinar harapan kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

"Dalam menelusuri hari-hari seterusnya dengan penuh keceriaan," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: