Thursday, 7 February 2019

YPU Terengganu Bantu Pengusaha Denim RDH Kembangkan Bisnes

SHARE
Mohd Nurkhuzaini mendengar penerangan dan taklimat yang disampaikan oleh Safuan mengenai RDH.
BESUT, 7 Februari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bersedia membantu pemilik Raw Denim House (RDH) untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih komersial dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman berkata, pihaknya akan membantu RDH kerana pemiliknya, Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin, 30, merupakan ikon usahawan muda yang mempunyai hala tuju dari segi perniagaannya di masa depan.

Katanya, pihak YPU melihat RDH sebagai produk yang boleh dikomersialkan lagi dan menjadi salah satu hasrat pihaknya untuk membantu melonjakkan usahawan denim tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Hari ini kita datang sendiri ke RDH di Besut yang menjadi viral atas kejayaannya menembusi pasaran antarabangsa dan cuba mendapatkan maklumat daripada pemiliknya tentang keperluan-keperluan yang diperlukan.

"Apa yang YPU ada, mungkin kita boleh sediakan tempat yang lebih luas atau buat cawangan untuk pemiliknya, Safuan merealisasikan hasrat dan cita-citanya untuk besarkan RDH," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas melawat RDH di Jertih, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata, Safuan merupakan kebanggaan anak muda Besut yang berpegang teguh kepada prinsip berniaga tanpa melibatkan sumber kewangan berasaskan riba.

"Safuan ini mempunyai 'wow factor' kerana mempunyai prinsip yang jelas yang tidak pernah digadaikan walaupun sudah lapan tahun berada dalam bidang perniagaan dan ianya selari dengan prinsip kerajaan negeri yang mahukan usahawan yang berprinsip begitu dalam perniagaan.

"Dan kerajaan negeri sendiri telah mengeluarkan pinjaman tanpa riba atau faedah bagi mengelakkan usahawan terjebak dalam kancah pinjaman yang mengenakan faedah dan boleh menjejaskan mereka," ujarnya lagi.
Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin.
Sementara itu, bagi Safuan, kedatangan Mohd Nurkhuzaini memberi cahaya dan ruang kepadanya untuk terus melangkah mencapai cita-citanya mengembangkan RDH sebagai satu empayar denim tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Walaupun RDH sudah mencapai satu tahap dalam perniagaan namun tetap hadapi kekangan untuk kembangkan bisnes  seperti faktor kekangan masa, wang, tempat, bakat dan sebagainya.

"Rasa bersyukur bila pihak kerajaan negeri bersama YPU turun ke tempat saya dan membuat perbincangan yang menghasilkan beberapa alternatif  dan jalan penyelesaian untuk memberi premis RDH bantuan yang sepatutnya,"ujarnya lagi.
Safuan bersama orang-orang  yang menjadikan tulang belakang RDH sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Safuan juga berkata, dengan bantuan dan jalan penyelesaian yang diberi, RDH akan ditambah baik termasuk menyediakan stok-stok denim untuk jualan terus berbanding sebelum ini melalui tempahan.

Menurut anak muda cekal ini, beliau ingin menjadikan RDH sebagai label dan jenama kepada Terengganu khususnya di Besut dan melahirkan lebih ramai bakat anak muda dalam bidang ini yang mampu berkolaborasi dalam perniagaan ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: