Tuesday, 12 February 2019

YPK Terima 443 Permohonan SSPN-i Di Hulu Terengganu

SHARE
Tuan Malini Tuan Jusoh

Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU, 12 Februari –
Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Kawasan Hulu Terengganu menerima sebanyak 443 borang permohonan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)untuk anak kelahiran Terengganu  di daerah ini.

Pegawai Teknologi Maklumat YPK Hulu Terengganu, Tuan Malini Tuan Jusoh berkata, jumlah tersebut adalah bagi kelahiran anak Terengganu yang dilahirkan pada tahun 2018.

"Sebanyak 584 permohonan dicatat untuk kelahiran tahun 2017 dan permohonan terbanyak  adalah pada bulan ini yang mencatat hampir 90 keping.

“Permohonan ini masih dibuka lagi bagi kelahiran tahun 2018 sehingga 28 Februari ini dan kita menjangkakan permohonan pada pada akhir bulan ini akan meningkat berikutan tarikh tutup adalah pada akhir bulan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat YPK Kawasan Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, borang permohonan boleh didapatkan di Klinik Kesihatan, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) dan di Pejabat YPK sendiri.

"Akan tetapi untuk urusan lebih senang boleh dapatkan borang dan hantar permohonan di Pejabat YPK setempat," ujar beliau.

Menurut Tuan Malini, saguhati dari kerajaan negeri Terengganu ini berjumlah RM100 bagi kelahiran anak ke 1-6, RM200 bagi kelahiran ke-7, RM300 bagi kelahiran anak ke-8, RM400 bagi kelahiran anak ke-9 dan RM500 bagi kelahiran anak ke-10 dan ke atas yang akan terus dimasukkan ke Akaun SSPN-i milik mereka.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kepada semua yang layak agar mengisi borang permohonan saguhati kelahiran ini kerana permohonannya sangat mudah di samping anak pemohon juga akan mendapat faedah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: