Sunday, 3 February 2019

Turun Padang, Nasihat Kanak-Kanak Jaga Kebersihan

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 3 Februari- Amalan menjaga kebersihan bagi melahirkan komuniti yang sihat sewarnya menjadi satu budaya yang perlu diamalkan oleh setiap anggota masyarakat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, budaya menjaga serta peka terhadap kebersihan harus diterapkan bermula dari fasa kanak-kanak lagi.

"Kita sedia maklum, kebersihan merupakan cabang keimanan. Hari ini saya mengambil peluang mendekati anak-anak yang leka bermain di taman yang kebersihannya tidak dikawal.

"Penduduk mendakwa, bahawa kanak-kanak berkenaan suka buang sampah sesuka hati di taman berkenaan. Jadi saya dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menemui anak-anak bagi mengambil peluang untuk menegur dan menasihati dengan penuh kasih sayang, agar mereka sedar supaya bertanggungjawab menjaga kebersihan taman permainan berkenaan," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau Taman Perumahan Bukit Besi, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ghazali, sifat negatif itu juga berpunca dari kalangan keluarga dan anggota masyarakat yang mengambil mudah mengenai nilai kebersihan.

"Di mana mereka membuang sesuka hati sampah sarap, jadi anak-anak turut meniru perbuatan yang sama," katanya.

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan bersama MPKK untuk mengadakan satu program kempen kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar di masa akan datang.

"Untuk taman (ini) MPKK akan ambil perjalanan bagi membersihkan taman ini. Pada masa yang sama akan cuba untuk sentiasa bersama anak-anak ini bagi mendidik mereka mengenai amalan menjaga kebersihan.

"Mereka merupakan generasi pelapis bagi menerajui kepimpinan di masa akan datang. Maju dan mundur sesebuah komuniti tidak semestinya diukur dengan terdirinya bangunan yang megah, atau rumah-rumah yang besar,"katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: