Sunday, 17 February 2019

TSG Shimano Yellowride 2019 Bakal Jadi Acara Tahunan Terengganu

SHARE
Penyertaan dari seluruh negara meriahkan Yellowride 2019.
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Acara berbasikal TSG Shimano Yellowride 2019 bakal dijadikan acara tahunan bagi negeri Terengganu dalam usaha membudayakan cara hidup sihat dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran aktiviti santai berbasikal (fun ride) secara besar-besaran anjuran Terengganu Cycling Team (TSG) dan Shimano Singapore Pt. Limited itu turut bertujuan memperkenalkan TSG kepada masyarakat luar.

"Acara ini dianjurkan sempena kejayaan bersejarah TSG memenangi jersi kuning (juara keseluruhan) dalam Le Tour de Langkawi 2018 lalu.

"Selain itu, aktiviti ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dengan penyertaan remaja dan belia dalam penganjuran kali ini," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Flag Off acara tersebut di Pantai Batu Burok semalam.

Para peserta berkayuh merentasi empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu dengan laluan sepanjang 100 km.

Seramai 2019 peserta menyertai penganjuran kali ini terdiri daripada penunggang basikal seluruh negara.


Paling menarik, acara tersebut diserikan dengan kehadiran ikon komuniti berbasikal negara iaitu Dato' Bakar Nordin, Sulaiman Abd Lah atau lebih dikenali 'Man Gerek' dan Sofian Mohd.

Wan Sukairi juga memaklumkan, acara itu mempromosikan sukan berbasikal sebagai produk pelancongan negeri itu kepada masyarakat luar.

"Kita memperoleh penajaan lebih RM200,000 dalam pelbagai bentuk daripada banyak pihak dan tidak mustahil ia mampu diadakan secara tahunan serta mampu menarik ramai peserta dan pengunjung.


"Bahkan, penganjuran kali ini juga telah disertai beberapa penunggang basikal daripada negara Singapura, Thailand dan Indonesia," katanya.

Acara tersebut turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Tengku Farouk Hussain Tengku Abdul Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Farhan Abdul Wahab, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Mohd Shamsol Bahrin Mohd Kamil serta wakil Shimano Singapore Pt.Limited.
Hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Axia tajaan EPIC.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: