Thursday, 28 February 2019

Tindakan Tegas Terhadap Individu Hina Agama

SHARE

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 28 Febuari - Kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW yang berlaku baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, umat Islam perlu bersatu dan bergerak ke hadapan untuk menunjukkan bantahan supaya kerajaan memandang serius dan bertegas terhadap apa jua unsur penghinaan kepada agama Islam.

“Umat Islam perlu mempamerkan bantahan dan pendirian agar kerajaan bertindak tegas terhadap perbuatan menghina agama Islam yang semakin menjadi-jadi akhir ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.


Sehubungan itu, Ahmad Amzad yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu menyeru seluruh umat Islam terutamanya rakyat Kuala Terengganu agar sama-sama menyertai Himpunan Aman Membantah Penghinaan kepada Rasulullah SAW di seluruh negara pada esok (1 Mac).

Menurut beliau, bagi kawasan Kuala Terengganu, bantahan akan berlangsung di Masjid Al Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu, bermula selepas solat Jumaat.

“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menyahut seruan ini dan berkumpul di Masjid Al Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: