Tuesday, 19 February 2019

Terengganu Mahu Wujud Hubungan Dua Hala Dengan Batam

SHARE


Oleh: Ahmad Fadhilah

Pulau Batam, Indonesia, 19 Februari  -  Kerajaan Terengganu berhasrat mewujudkan hubungan dua hala dengan Batam dan penggerak industri pelancongan di negeri ini, dalam usahanya untuk melonjakkan sektor pelancongan negeri di wilayah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata sempena itu beliau bersama Jabatan Pelancongan telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Pulau Batam, Indonesia bagi mempromosikan Terengganu.

Katanya, kekuatan dan kelebihan yang ada pada Terengganu dan Batam bukan sahaja akan melonjakkan industri pelancongan masing-masing, malah hubungan keduanya akan menyemarakkan lagi industri pelancongan negara dan mengeratkan semangat perpaduan.

"Dengan cara ini saya yakin kerjasama erat akan berlaku antara kita (Terengganu) dan Batam.

"Saya berdoa agar pelancongan di negeri Terengganu terus berkembang pesat hasil daripada lawatan ini,”” ujar beliau di sidang media selepas majlis taklimat pelancongan Negeri Terengganu kepada pengusaha pelancongan di Batam, baru-baru ini.

Taklimat berkenaaan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan dan Kebudayaan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak di Dewan Seminar Hotel Allium, Nagoya, Pulau Batam Indonesia.

Turut hadir,  Edi Suryawan dari Assosiasi Perusahaan Perjalanan Wisata Indonesia, Dewan Pengurus Daerah Kepri dan wakil-wakil agensi pelancongan kepulauan Batam Indonesia.

Ariffin Deraman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, turut mengalukan kedatangan warga Batam ke Terengganu untuk berkongsi persamaan yang ada dalam kekayaan khazanah budaya dan alam semula jadi dimiliki dua negeri ini.

Justeru itu katanya, pihak pelancongan negeri akan mengadakan satu pertemuan pada bulan Mac ini dengan agensi pelancongan Batam di Terengganu bagi membincangkan dan memperkenalkan pakej-pakej percutian Terengganu disamping memperkenalkan tempat-tempat kepada mereka untuk dilawati.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: