Wednesday, 13 February 2019

Terengganu Lulus Satu Ekar Tanah Kepada Masyarakat Cina Kemaman

SHARE

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan negeri mahu melaksanakan pemerintahan yang baik, tulus dan budiman dan telah meluluskan sebidang tanah seluas satu ekar kepada masyarakat Cina Tionghua di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, tanah tersebut telah diberikan kepada Dewan Perhimpunan Cina untuk pengurusan sebuah rumah mayat.

“Ia telah dipohon semenjak lama dahulu. Tetapi tidak pernah diluluskan (oleh kerajaan sebelum ini). Ini menandakan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang sangat baik, tulus dan budiman.

“Kerajaan pada hari ini kerajaan daripada rakyat dan kepada rakyat. Sebab itu kami akan jaga rakyat terutama kepada pembayar cukai dan kita akan jaga sebaik mungkin,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Terengganu di Kampung Cina semalam.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa wakil rakyat dari DUN Air Putih telah naik ke Pejabat Tanah Daerah untuk memohon tanah lot perumahan yang tidak diluluskan.

Katanya, setiap tanah lot tersebut akan dibuat 'layout' untuk diberikan geran kepada setiap orang dan dalam masa yang terdekat mereka akan mendapat geran daripada kerajaan negeri.

“Kawasan perumahan (rakyat) yang minta tanah lot pun tidak diluluskan maka wakil rakyat dari DUN Air Putih memohon Pejabat Tanah Daerah buat ‘layout’ untuk diberikan  geran kepada setiap orang.

“Saya yakin dalam masa terdekat  ini mereka akan dapat geran daripada kerajaan negeri,” ujarnya.


Justeru itu, beliau berkata, ia menandakan Kerajaan Terengganu menjaga kebajikan kaum Tionghua.

“Kita mahu  berlaku adil kepada semua, pastikan negeri aman, orang  Cina dapat berniaga dengan baik dan ekonomi  bertambah baik serta hidup aman dan damai,” tambahnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: