Sunday, 10 February 2019

Terengganu FC Terus Bergelut Raih Kemenangan Sulung

SHARE
Jentera serangan gagal tembusi kubu tuan rumah. Foto - Media TFC
KUALA TERENGGANU, 10 Februari - Terengganu Football Club (TFC) terus bergelut untuk mencari kemenangan sulung apabila tewas 0-3 kepada seteru pantai timur, Pahang FA di Stadium Darul Makmur semalam.

Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim terpaksa menerima kenyataan pasukannya terus gagal membawa pulang tiga mata dalam perlawanan kedua Liga Super musim ini setelah seri menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC minggu lalu.

Bercakap kepada media selepas perlawanan itu, Irfan menerima secara terbuka kekalahan tersebut kepada skuad Tok Gajah yang kembali mendapatkan khidmat ‘orang besi’ iaitu Dickson Nwakaeme dalam saingan liga kali ini.

Bagaimanapun, beliau memuji kebangkitan semula anak buahnya pada aksi babak kedua perlawanan walaupun tidak berjaya menjaringkan sebarang gol.

Perlawanan yang dihadiri sekitar 28,000 penyokong itu bermula agresif apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan seawal pemainan.

Tok Gajah nyata lebih mendominasi separuh masa pertama apabila sering melancarkan serangan berbahaya bertali arus ke kubu lawan dan berjaya mendahului pada minit ke-13 hasil jaringan Nwakaeme yang menerima hantaran lintang Mohamadou Sumareh.

Sebaliknya, TFC yang kembali dibarisi pemain tengah, Lee Andrew Tuck pula tampak mencari-cari rentak perlawanan tanpa serangan tepat ke arah penjaga gawang tuan rumah, Mohd Remezey Che Ros.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu menunjukkan kebangkitan semula dengan gerakan-gerakan menarik daripada Sanjar Shaakhmedov dan Lee Tuck untuk mengancam kubu lawan namun tidak mampu menembusi keampuhan benteng Tok Gajah sepanjang perlawanan.

Pahang berjaya mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh gol melalui Herold Goulon (51’) dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (91’) sekali gus kembali ke persada liga.

Selepas dua perlawanan, TFC kini berada di kedudukan ke-10 liga dengan satu mata di hadapan PKNP FC dan Kuala Lumpur.

TFC akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi ketiga Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Jumaat ini.     




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: