Tuesday, 12 February 2019

Kerajaan Negeri Angkat Pendidikan Elemen Penting

SHARE
Satiful menandatangani plak simbolik merasmikan Bangunan Koperasi Idun Quranic Centre (KIQC).
DUNGUN, 12 Februari - Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan pendidikan sebagai satu elemen penting dengan memperuntukkan sejumlah besar dana negeri untuk meningkatkan ilmu di kalangan masyarakat .

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, peruntukan perbelanjaan yang dibentangkan dalam Bajet 2019 lalu memperlihatkan bidang pendidikan mendapat dana tertinggi antara bidang-bidang yang lain.

"Berbekalkan peruntukan ini, kita akan terus alirkan dana kepada rakyat negeri Terengganu melalui pelbagai program dan aktiviti kelimuan yang dirancang.

“Bagaimanapun, ia akan mengambil masa untuk kita lihat hasilnya," katanya di Dewan Ulul Albab Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (Atas) Dungun, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali keenam sempena Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 & Majlis Perasmian Koperasi SM Imtiaz Dungun Berhad.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menandatangani plak simbolik merasmikan Bangunan Koperasi Idun Quranic Centre (KIQC) yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik selaku Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan.

Satiful memaklumkan, keutamaan yang diberikan kerajaan negeri itu bertujuan melahirkan insan- insan yang bakal menjadi pelapis kepimpinan kerajaan dalam usaha mencapai gagasan.

“Ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka sejak dari awal lagi. Ibu bapa hari ini kebanyakannya berpelajaran tinggi, jadi mereka mahukan anaknya lebih baik daripada mereka.

"Sedangkan konsep pendidikan dalam Islam, kita perlu mendidik 'minal mahdi ilal lahdi' yakni daripada buaian sampai ke liang lahad," katanya.

Beliau turut mengulas tanggapan buruk sebahagian masyarakat tentang ibu bapa yang menghantar anaknya ke pusat hafazan al-Quran dikatakan tidak mempunyai masa depan yang cerah.

"Apabila kita menghantar anak ke pusat hafaz al-Quran, bukan bermakna kita menutup masa depan mereka. Sebaliknya, kita menambah kefahaman dan ilmu keduniaan mereka dengan ilmu akhirat," katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: