Sunday, 10 February 2019

Tasik Kenyir Tempat Percutian Idaman

SHARE
Keindahan semulajadi Tasik Kenyir pukau pengunjung.
Oleh: Adli Mohamad

HULU TERENGGANU, 10 Februari - Tasik Kenyir merupakan satu lokasi yang menyajikan keindahan semula jadi yang akan meninggalkan kesan abadi kepada pelancong dan pengunjung apabila bertandang.

Pengunjung kali pertama, Mohd Rizal Azizi, 34, berkata, Tasik Kenyir memberikan satu kepuasan bagi dirinya apabila berkesempatan untuk datang ke Tasik Kenyir.

"Kenangan menaiki bot merentasi Tasik Kenyir untuk ke lokasi air terjun Sungai Saok, amat mengujakan dan akan menjadi satu kenangan indah buat saya.

"Saya ini anak Terengganu, namun tidak pernah berkesempatan datang ke sini, mempunyai ruang dan peluang pada kali ini saya tidak teragak-agak untuk datang ke sini.

"Merentasi tasik yang luas menjadikan saya lupa pada segala kesibukan yang ada di ibu kota Kuala Lumpur, tempat saya bekerja, tambah mengujakan apabila sampai di lokasi yang dituju, Air Terjun Sungai Saok yang indah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, semasa bercuti bersama isteri dan anaknya di Tasik Kenyir, Kuala Berang, baru-baru ini.

Menurut Rizal, lokasi untuk mandi di Air Terjun Sungai Saok itu sungguh selamat dan mendamaikan fikiran.

"Saya dan isteri, tidak merasa bimbang dengan anak saya yang berumur tiga tahun untuk turut merasai keseronokan menikmati air yang begitu jernih dan cetek.

"Tidak mustahil untuk saya datang semula di masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, pemandu bot pelancong, Arman Salleh berkata, adalah menjadi satu kewajaran untuk orang Terengganu tahu dan kenal, serta menikmati sendiri keindahan Tasik Kenyir yang popular di Terengganu ini untuk diceritakan kepada orang luar, supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung.

"Apabila ramai pelancong yang datang, sudah tentu ianya akan lebih membangunkan sektor pelancongan negeri Terengganu.

"Dan perancangan yang terbaru, yang saya tahu kerajaan negeri akan menambahkan lagi taman negeri yang baru, pastinya ianya akan lebih menarik," jelasnya.
Pemandu bot pelancong, Arman Salleh.
Menurutnya lagi, bagi meneroka keluasan Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan dua kali ganda berbanding Singapura itu, ada beberapa pakej yang tersedia.

"Di antaranya ialah pengunjung atau pelancong boleh menaiki bot untuk pusing pulau.

"Ataupun boleh memilih untuk pergi ke beberapa destinasi yang menarik seperti Air Terjun Sungai Saok, Taman Rama-rama dan Taman Herba. Mereka juga boleh ke Air Terjun Lansir yang memakan masa hampir satu jam untuk menaiki bot.

"Namun jika merancang percutian bersama keluarga dan ada anak-anak kecil, mandi di Sungai Saok dah memadai," jelasnya.
Tempat menarik di Tasik Kenyir sememangnya menjadi tarikan kepada pengunjung.
Tambahnya lagi, pada bulan Mac nanti, akan dibuka Santuari Kelah yang akan memberikan lebih keseronokan serta kepuasan.

"Amat-amat digalakkan kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman bersama ikan-ikan kelah yang begitu banyak dan seolah-olah jinak mengerumuni kedatangan pelancong.

"Insya-Allah, tidak akan rugi, malah akan menjadi satu percutian yang berbaloi dan menjanjikan keseronokan yang tersendiri," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: