Saturday, 16 February 2019

Tangani Kekeliruan Maklumat Dan Fitnah Di Media Baharu

SHARE
Asma' Harun

KEMAMAN, 16 Februari-Media baharu kini dianggap sebagai kuasa besar kerana kekuatannya dalam menyampaikan mesej merentasi sempadan masa dan tempat dengan kapasiti yang besar dan pantas.

Penceramah Bebas dan Motivator, Asma’ Harun berkata, melalui media baharu, pelbagai transaksi, perkembangan ekonomi, politik, pendidikan, keagamaan dan sosial boleh dilakukan selama 24 jam tanpa batas.

Katanya, telah menjadi realiti, kebanjiran maklumat merentasi pelbagai aspek akan menimbulkan rasa tidak senang serta sukar memilih maklumat yang tepat.

"Ada beberapa asas mengenai kredibiliti maklumat atas talian, antaranya ialah penulisan itu mesti berasaskan kejujuran, kandungannya tidak berat sebelah,    mementingkan aspek akhlak (moral), ada unsur keaslian bagi penulisan Islam, kandungannya bermaklumat dan maklumat yang ada boleh disahkan.

"Disamping itu juga, pentingnya pemantauan berterusan oleh para ilmuan dan pihak berwajib terhadap kesahihan maklumat yang disalurkan kepada masyarakat melalui media baru,"ujarnya.

Beliau berkata ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Tanggungjawab Menangani Kekeliruan Maklumat
dan Menangkis Fitnah di Media Baru di Program Ijtimak Siber Malaysia di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.


Asma' yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Darul Ulum, Negeri Sembilan berkata masyarakat juga perlulah diberi pendedahan bagaimana untuk membezakan maklumat yang betul atau salah dan sekiranya tiada jawapan, maka pendekatan diam itu adalah lebih baik dan terhindar dari dosa.

Justeru itu katanya, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius hal ini. Undang-undang yang sedia ada perlu diperkasakan atau dipinda kerana penggunaan alam siber media baru ini semakin meluas dan tidak terkawal.

"Selain usaha mendidik masyarakat, penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan pastinya akan dapat memastikan rakyat terhindar dari penyakit ini dan keharmonian serta keamanan negara dapat dijaga, kata Asma'.

Tambahnya, sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membasmi segala bentuk perpecahan yang boleh membawa kepada kemunduruan umat Islam.

"Oleh itu, setiap individu bergelar muslim perlulah mempunyai kesedaran untuk mendidik masyarakat dari budaya fitnah memfitnah ini,"ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: