Friday, 22 February 2019

Tanaman Nanas Sumber Kekayaan Baru Di Kemasik Terengganu

SHARE

Oleh: Khalid Abdullah 

KEMAMAN, 22 Februari - Kerajaan Terengganu telah mengenal pasti nanas sebagai satu sumber kekayaan baharu khususnya di Kemasik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, ianya mampu meraih pulangan yang sangat memuaskan jika diusahakan secara serius dan bersungguh-sungguh.

"Dengan potensi yang sangat luas, Kemasik dilihat mampu membantu melonjakkan industri nanas negeri ini dan peluang ini patut direbut oleh setiap rakyat.


"Kita telah bersetuju memulakan usaha ini dengan memperuntukkan tanah seluas 34 hektar di Kampung Semayor sebagai projek perintis untuk kita usahakan dalam masa terdekat.

"Bentuk tanah di kampung ini amat sesuai bagi tanaman nanas yang mampu dijadikan tanaman komersial baharu di Kemasik.

"Sebagai ADUN, saya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk pembangunan industri nanas di Kemasik.

Tumpuan bukan sahaja untuk membangunkan industri nanas, tetapi juga melahirkan usahawan dengan matlamat utama adalah peningkatan pendapatan petani," ujar beliau.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pegawai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Terengganu Selatan, Mohd Hazman Jusoh di pejabatnya, di Kertih, di sini, pada petang semalam.

Menurut Mohd Hazman, Kemasik dilihat berpotensi besar sebagai pengeluar nanas dan LPNM sebagai agensi peneraju utama pembangunan industri nanas bersedia membantu.

"Pengusaha tanaman nanas akan dibantu secara langsung menerusi bantuan seperti bahan tanaman, input pertanian serta khidmat nasihat dan teknikal.

Pegawai LPNM tersebut yang bertanggungjawab kepada daerah Kemaman dan Dungun juga berkata, nanas yang disyorkan pada ketika ini adalah MD2 kerana ia merupakan nanas premium yang mendapat permintaan tinggi di peringkat domestik dan luar negara.

“Nanas yang berasal dari Hawaii ini tahan lasak dan tidak mudah rosak. Ia mengandung vitamin C iaitu empat kali lebih tinggi daripada nanas biasa.

“Harga pasaran nanas MD2 ini boleh mencecah harga RM3.50 sekilogram dan dijangka memberi pendapatan purata RM6,000 sehektar,” katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: